Pasukan beruniform tayang 'abang sado'
PUTRAJAYA - Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2024 dimeriahkan dengan penyertaan pelbagai pasukan keselamatan yang menampilkan 'abang sado' masing-masing.
Selain Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), kontinjen lain yang menampilkan anggota bertubuh sasa ialah Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Sepanjang perarakan masuk pasukan berkenaan, suasana bertukar dua kali ganda lebih meriah dengan sorakan daripada pengunjung yang hadir.
Menerusi perarakan itu, kontinjen JBPM menampilkan kelainan dengan penyertaan anggota wanita dan penggunaan ayat 'picup-up line' lebih menarik iaitu Abang bomba sado... Akak bomba pula 'sweet' kan'.
Tahun lalu, JBPM menjadi tumpuan apabila kontinjen tersebut menampilkan anggota bertubuh sasa sebagai tarikan kepada pasukan itu.
Sambutan Hari Kebangsaan ke-67 dengan tema 'Malaysia Madani: Jiwa Merdeka' itu berlangsung di Dataran Putrajaya di sini untuk tontonan rakyat bermula jam 8 pagi.
Program berkenaan diserikan dengan keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah selain kehadiran barisan Jemaah Menteri serta perwakilan asing.
Sambutan kemuncak itu menyajikan perbarisan dan perarakan melibatkan lebih 17,000 peserta, 59 kontinjen, 24 pasukan pancaragam serta 439 aset ketenteraan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!