Polis tembak mati lelaki culik 23 kanak-kanak
FARRUKHABAD – Seorang lelaki yang menculik 23 kanak-kanak maut ditembak polis di sebuah rumah di Kampung Kasaria, Farrukhabad, India Khamis lalu.
Dalam kejadian itu, suspek dikenali sebagai Subhash Batham, lapor CNN yang memetik sumber.
Ketua Pengarah Uttar Pradesh Polis, Om Prakash Singh berkata, suspek ditembak ketika pihaknya melakukan operasi yang turut disertai oleh pengawal keselamatan negara dan pasukan anti keganasan.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati suspek memperdayakan 23 kanak-kanak itu dengan menjemput mereka ke rumahnya untuk meraikan sambutan hari jadi anaknya.
"Setelah semua kanak-kanak berusia 10 tahun itu memasuki rumahnya, suspek bertindak mengurung mereka di ruang bawah tanah rumahnya. Ketika itu terdapat juga seorang bayi bersama suspek.
"Suspek kemudiannya meminta wang tebusan sebanyak 10 juta rupee (RM572,636) untuk setiap kanak-kanak," katanya.
Katanya, sebelum ditembak mati, pihak polis cuba melakukan rundingan dengan suspek kira-kira lapan jam.
"Ketika kejadian suspek mempunyai senjata dan bahan peledak. Suspek bertindak menggunakan bahan peledak sehingga menyebabkan sebahagian rumahnya runtuh. Suspek juga mempunyai beberapa rekod jenayah berkaitan pembunuhan,” katanya.
Prakash Singh berkata, dalam kejadian tersebut, isteri suspek juga telah dipukul oleh orang ramai dan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!