AGITO 'turun padang' bantu hasilkan visual menarik

Pergerakan sebuah kamera robotik yang 'berjalan' di sekitar pentas utama dan antara kontinjen perbarisan pada sambutan Hari Kebangsaan hari ini, pasti menarik perhatian mereka yang melihatnya. Foto Bernama
Pergerakan sebuah kamera robotik yang 'berjalan' di sekitar pentas utama dan antara kontinjen perbarisan pada sambutan Hari Kebangsaan hari ini, pasti menarik perhatian mereka yang melihatnya. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Pergerakan sebuah kamera robotik 'berjalan' di sekitar pentas utama dan antara kontinjen perbarisan pada sambutan Hari Kebangsaan hari ini menarik perhatian mereka yang melihatnya.

Robot berwarna hitam itu ialah kamera robotik model G1 Shotover AGITO (AGITO) untuk memastikan paparan visual sambutan Hari Kebangsaan di kaca televisyen tahun ini lebih segar bagi kepuasan mereka yang tidak berpeluang hadir ke Dataran Putrajaya.

Penyelaras Teknikal Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2024, Mohd Amzar Nasarudin berkata, AGITO yang menggabungkan dua komponen iaitu G1 Shotover (gimbal) dan AGITO (robotik) membolehkan produksi memperolehi visual yang sukar atau tidak boleh diperoleh sebelum ini.

"AGITO bergerak bebas menerusi alat kawalan jauh dikendalikan jurukamera profesional dari Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) dan bebas untuk bergerak kerana tiada kabel terpasang, selain mempunyai jarak capaian dalam lingkungan 300 meter.

"Jadi, ia boleh mencelah di mana-mana termasuk dalam perarakan. Satu lagi kelebihan ialah kameranya boleh diturun dan ditinggikan dengan cepat iaitu dari serendah menghampiri paras tanah atau dinaikkan hingga hampir 10 kaki yang mungkin sukar atau satu limitasi kepada jurukamera," katanya kepada Bernama pada Sabtu.

Mohd Amzar berkata, AGITO yang mempunyai had kelajuan 80km/jam boleh beroperasi hingga lima jam pada mod kelajuan biasa dan untuk sambutan tahun ini, ia digunakan bagi mendapatkan visual menarik perarakan di sekitar Pentas Diraja.

AGITO difahamkan satu-satunya model yang terdapat di Asia Tenggara dan membuat kemunculan sulung liputan secara langsung sempena sambutan Hari Kebangsaan 2024 di Malaysia.

Sementara itu, jurukamera RTM Mohd Syazrin Zainal, 38, selaku Operator 1 AGITO pada sambutan Hari Kebangsaan 2024 mengakui teruja, namun dalam masa sama gemuruh untuk mengendalikan robot berkenaan buat pertama kali terutama dalam sebuah acara penting negara.

Artikel Berkaitan:

"Kawalan AGITO agak susah dan semasa mengendalinya, kita perlu tahu visual apa yang hendak diambil. Kita juga perlu berkomunikasi dengan rakan-rakan jurukamera sepanjang masa dan jari pula perlu cekap mengendalikan alat kawalan jauh.

"Minda juga perlu tangkas dan sentiasa berjaga-jaga kerana kita sentiasa menerima arahan. Ini semua memerlukan latihan untuk membiasakan diri," katanya yang perlu mengikuti latihan intensif selama sebulan bagi tujuan itu.

Penggunaan AGITO, katanya, memudahkan proses mendapatkan visual menarik yang sebelum ini terbatas disebabkan peraturan atau protokol kedudukan jurukamera yang perlu dipatuhi sepanjang majlis berlangsung.

Aset MVF-5 Dok-ing PDRM buat penampilan padasambutan Hari Kebangsaan 2024

Dalam pada itu, sebuah unit sistem robotik berat MVF-5 Dok-ing antara aset terbaharu Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang turut ditampilkan pada perbarisan Hari Kebangsaan 2024 di Dataran Putrajaya di sini.

Ketua Unit Komunikasi dan Pemantauan Media Urusetia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat) PDRM, Deputi Superintenden Mohd Firdaus Ramli berkata, penampilan pertama aset itu sebagai sebahagian daripada tarikan dan kelainan perbarisan kontinjen Sang Saka Biru tahun ini.

"Aset terbaharu PDRM ini digunakan untuk pelbagai misi untuk tindak balas kecemasan sebagai membantu responder pertama melaksanakan tugas dalam keadaaan paling getir dan mencabar serta mengancam nyawa.

"Selain tugas pemusnahan bahan letupan, kenderaan robotik ini juga boleh digunakan untuk pemadaman kebakaran dan pembersihan bahan kimia berbahaya, malah berupaya merentasi sebarang halangan kebakaran dan keadaan ekstrem," katanya kepada Bernama.

Tambahnya, aset tersebut buat masa ini belum digunakan lagi kerana ia hanya akan digunakan apabila berdepan dengan ancaman yang besar.

"Aset terbaharu ini adalah penambahan kepada segala aset sedia ada PDRM bagi memantapkan lagi penyampaian perkhidmatan dalam mencegah ancaman," katanya.

Perbarisan Kontinjen PDRM tahun ini menyaksikan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengetuai kontinjen itu, selepas membuat penampilan sulung pada tahun lepas bersama "detachment" Unit Berkuda dari Pasukan Simpanan Persekutuan.

Mohd Firdaus berkata, pada sambutan tahun ini, kontinjen PDRM melibatkan 981 pegawai dan anggota, 49 aset haiwan terdiri daripada kuda dan anjing terdiri daripada baka German Shepherd dan Labrador serta 46 aset kenderaan.

"Aset kenderaan yang kita bawa pelbagai jenis antaranya BWM RT 1250cc, Kawasaki GTR 1400, Yamaha FJR 1300P 4, kereta peronda, pacuan empat roda (4x4) dan dua buah unit Water Canon jenis Scania dan kenderaan pemerintah jenis Scania.

"Selain itu, sebuah aset udara PDRM iaitu helikopter jenis AW139 turut terlibat dalam lintas hormat iaitu formasi pertunjukan udara gabungan bersama agensi lain,” katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!