Ekonomi Madani: Transformasi 365 hari

Rakyat segenap lapisan termasuk penoreh getah menerima manfaat daripada Kerangka Ekonomi Madani yang dilancarkan pada Julai tahun lalu.
Rakyat segenap lapisan termasuk penoreh getah menerima manfaat daripada Kerangka Ekonomi Madani yang dilancarkan pada Julai tahun lalu.
A
A
A

SHAH ALAM – Kegusaran rakyat ekoran penyusutan nilai ringgit kini reda apabila mata wang negara dilihat semakin stabil dan melonjak ke paras tertinggi, RM4.42 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada 9 Ogos lalu.

Peningkatan ketara itu nyata memberi kelegaan dan menggembirakan rakyat kerana ia menjadi salah satu indikator pengukuhan ekonomi negara kesan pelaksanaan transformasi menerusi Kerangka Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat yang dilancarkan pada 27 Julai tahun lalu.

Penstrukturan semula ekonomi berkenaan yang turut memberi impak kepada lonjakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan kenaikan jumlah eksport negara dirasai sendiri oleh pekebun kecil dari Cameron Highlands, S Mathan.

Jumlah eksport bunga kekwa dari Cameron Hinghlands ke luar negara meningkat kesan pengukuhan ekonomi negara. – Gambar hiasan (Kredit: Fikrah Pahang)
Jumlah eksport bunga kekwa dari Cameron Hinghlands ke luar negara meningkat kesan pengukuhan ekonomi negara. – Gambar hiasan (Kredit: Fikrah Pahang)

Mathan, 41, berkata, keadaan ekonomi yang makin kukuh meningkatkan permintaan dari luar negara iaitu Jepun, Hong Kong, Dubai, Thailand dan Singapura terhadap bekalan bunga segar Cameron Highlands.

S. MATHAN
S. MATHAN

“Disebabkan ada peningkatan permintaan jadi jumlah eksport bunga segar kekwa naik dan ia menambahkan lagi pendapatan kebanyakan pekebun bunga di kawasan ini.

“Hasil pendapatan eksport ini digunakan semula oleh pekebun untuk meningkatkan modal pusingan, membaik pulih kelengkapan kebun yang rosak dan untuk pembelian jentera bagi memudahkan kerja di kebun masing-masing,” katanya kepada Sinar Harian.

Artikel Berkaitan:

Pakar ekonomi, Profesor Datuk Dr Shazali Abu Mansor berkata, KDNK Malaysia berkembang sebanyak 5.9 peratus pada suku kedua tahun ini mengatasi unjuran median konsensus Bloomberg iaitu sebanyak 5.8 peratus.

SHAZALI
SHAZALI

Menurutnya, angka tersebut lebih tinggi berbanding pertumbuhan KDNK pada suku pertama 2023 pada paras 5.6 peratus.

"Petunjuk ekonomi semakin kukuh bukan sahaja boleh dilihat dari segi pertumbuhan KDNK negara tetapi dari sudut pengukuhan ringgit, prestasi bursa saham, peningkatan indeks pengeluaran industri dan median upah bulanan serta kenaikan perdagangan borong serta runcit.

“Situasi ini membuktikan keyakinan pelabur kepada negara semakin bertambah sejak Kerangka Ekonomi MADANI digerakkan. Kepercayaan daripada pelabur akan terus merangsang ekonomi negara dari semasa ke semasa," ujarnya.

Beliau menjelaskan, selepas lebih setahun Kerangka Ekonomi MADANI digerakkan, banyak manfaat dilihat sudah dinikmati rakyat seiring dengan objektifnya untuk mengangkat darjat hidup rakyat dan menstruktur semula ekonomi bagi melonjakkan Malaysia sebagai peneraju ekonomi di rantau Asia.

Kerangka terbabit diterajui oleh tiga teras utama iaitu menaikkan siling, tatakelola baik dan reformasi sektor awam dan menaikkan lantai yang disokong oleh enam nilai MADANI iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan.

Inisiatif menaikkan lantai atau taraf hidup rakyat contohnya dilaksanakan melalui penyediaan pekerjaan bermakna dan berpendapatan tinggi; keterangkuman dan kesaksamaan peluang; akses sejagat pendidikan dan kesihatan serta kemudahan asas bertaraf dunia.

Sementara itu, kerani, Rashida Mohamad, 34, mengakui semua inisiatif yang terangkum di bawah Kerajaan Madani dan Kerangka Ekonomi MADANI mengurangkan beban dan membuatkan rakyat merasa hidup mereka lebih terjamin.

RASHIDA
RASHIDA

“Memang banyak bantuan yang disalur Kerajaan MADANI dan yang paling utama ialah bantuan dalam bentuk tunai iaitu Sumbangan Tunai Rahmah (STR). Apabila kadar maksimum bantuan ini ditambah, saya dan penerima lain ada lebih duit tunai untuk berbelanja.

"Suami saya sebelum ini turut diberhentikan kerja. Jadi duit yang diterima boleh tampung perbelanjaan harian keluarga dan diguna untuk bayar yuran dan beli barang keperluan sekolah anak-anak,” katanya.

Di bawah Kerangka Ekonomi MADANI rakyat menikmati penambahbaikan nilai bantuan apabila kadar maksimum STR tahun ini dinaikkan kepada RM3,700 berbanding maksimum RM2,500 pada 2022.

Kerajaan juga memperuntukkan sebanyak RM200 juta untuk inisiatif Payung Rahmah dan meningkatkan bantuan awal persekolahan kepada RM150 untuk lima juta pelajar pada tahun ini berbanding hanya RM100 pada 2022.

Dalam pada itu, juruelektrik, Tay Siong Kwang, 59, memaklumkan, aspek tatakelola baik yang diamalkan kerajaan membantu menstabilkan harga barang keperluan seperti ayam segar, telur dan minyak masak di pasaran.

SIONG KWANG
SIONG KWANG

“Kalau dahulu saya rasa sangat terbeban sebab harga barang serba mahal namun sekarang situasi makin terkawal apabila harga barang keperluan seperti ayam tidak semahal dahulu.

"Kita juga dapat lihat kuasa beli rakyat makin bertambah. Ini dapat di lihat di restoran dan kedai-kedai yang ramai pelanggan. Situasi ini gambarkan keadaan ekonomi makin baik selain disebabkan kami ada duit tunai di tangan,” ujarnya.

Penoreh getah, Ali Lateh, 74, pula bersyukur kerana masyarakat Orang Asli tidak tercicir dan turut menikmati banyak inisiatif yang disalurkan kerajaan terutama membabitkan bantuan pendidikan kepada anak-anak mereka.

ALI
ALI

“Walaupun saya tinggal jauh di kawasan pedalaman Gua Musang, Kelantan iaitu di penempatan Orang Asli Kampung Kuala Lah tapi saya dan anak-anak saya tetap merasa bantuan dari kerajaan seperti bantuan awal persekolahan dan bantuan anak masuk universiti.

"Selain itu saya juga menikmati Insentif Pengeluaran Getah yang dinaikkan kepada RM3 per kilogram sekarang,” katanya yang juga pesara polis dari suku Mendriq.

Justeru, daripada pandangan pakar ekonomi dan tinjauan rakyat itu jelas mendapati bahawa Ekonomi Madani telah membawa banyak perubahan positif dalam tempoh setahun kebelakangan ini dan ia juga memberi harapan baharu kepada masa depan Malaysia yang lebih adil serta sejahtera.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!