Wajib terus hormati Perlembagaan, Rukun Negara - MB Pahang

Wan Rosdy (lapan dari kiri) ketika hadir Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Pahang pada Sabtu.
Wan Rosdy (lapan dari kiri) ketika hadir Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Pahang pada Sabtu.
A
A
A

KUANTAN - Rakyat di negara ini wajib untuk terus menghormati Perlembagaan Persekutuan dan prinsip Rukun Negara yang menjadi teras utama kestabilan dan keharmonian negara.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, rakyat juga diingatkan tidak memainkan sentimen dan persepsi negatif.

"Janganlah sesekali kita memainkan sentimen dan persepsi negatif terutamanya menyentuh isu 3R iaitu agama, kaum dan juga institusi raja yang akhirnya boleh mencetuskan keadaan tidak stabil serta merugikan kita semua.

"Alhamdulillah, kita di Pahang terus berjaya mengukuhkan perpaduan kaum dan agama yang telah kita bina sejak sekian lama.

"Kerajaan negeri akan terus memastikan kebajikan rakyat di negeri ini terus diberi perhatian dengan memberi fokus kepada pembangunan ekonomi, pendidikan, pertanian, sosial dan infrastruktur yang memberi manfaat kepada rakyat," katanya dalam perutusan sempena Hari Kebangsaan ke-67 pada Sabtu.

Ujar beliau, tema tahun ini iaitu 'Malaysia Madani: Jiwa Merdeka' bukan sahaja menggambarkan pencapaian negara tetapi juga mencerminkan semangat perpaduan dan kemajuan yang terus berkembang di bumi tercinta.

Jelasnya lagi, tema 'Malaysia Madani' membawa makna yang mendalam iaitu menggambarkan visi negara ini untuk membina sebuah masyarakat yang bersatu padu, maju, dan berdaya saing.

"Jiwa Merdeka yang menjadi tunjang tema ini, adalah manifestasi daripada semangat kemerdekaan yang membara dalam jiwa setiap rakyat Malaysia.

Artikel Berkaitan:

"Ia adalah cerminan daripada kekuatan dan ketahanan kita sebagai sebuah bangsa yang bersatu padu, berbilang kaum dan agama, serta mempunyai cita-cita yang sama untuk mencapai kejayaan," ujar Wan Rosdy.

Tambahnya, kemerdekaan yang dinikmati hari ini adalah hasil daripada perjuangan dan pengorbanan generasi terdahulu.

Tegas beliau, tanpa pengorbanan mereka, sudah pastinya generasi muda hari ini tidak dapat mengecapi kehidupan yang aman dan sejahtera.

"Oleh itu, marilah kita bersama-sama menghayati nilai-nilai kemerdekaan dengan terus berusaha memperkukuh perpaduan, memartabatkan kedaulatan institusi Diraja dan undang-undang, serta memastikan kemakmuran negara kita dapat dinikmati oleh setiap lapisan masyarakat," katanya.

Dalam pada itu, beliau juga memberitahu salam menghadapi pelbagai cabaran di peringkat global dan tempatan, penting untuk semua pihak mengukuhkan semangat masyarakat yang berteraskan integriti, tanggungjawab, dan keadilan.

Jelasnya, hanya dengan semangat tersebut dapat memastikan negara ini tidak hanya maju dalam bidang ekonomi semata-mata, tetapi juga kerana kualiti hidup dan kebajikan rakyatnya.

"Oleh itu, marilah kita terus mengeratkan semangat perpaduan dan saling hormat menghormati antara satu sama lain.

"Akhir kata, dengan tekad dan usaha bersama, kita pasti dapat mencapai kejayaan yang lebih gemilang di masa akan datang," ujarnya.

Beliau juga berharap semoga Hari Kebangsaan kali ini menjadi titik tolak kepada pencapaian-pencapaian baharu dan inspirasi kepada semua untuk terus berusaha demi masa depan yang lebih baik.

"Selamat Hari Kebangsaan ke-67. Merdeka! Merdeka! Merdeka!" katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!