[VIDEO] Kerap diselenggara rahsia tandas kekal bersih
JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Kakitangan stesen minyak Petron Senai Jaya, Zainur Asshiken Zalihan, 27 mengakui pihaknya kerap menyelenggara tandas di situ dalam usaha mengekalkan kebersihannya.
Justeru katanya, segala usaha tersebut membuahkan hasil apabila memenangi Anugerah TOTYA 2023 bagi tandas awam terbaik (kategori stesen minyak) anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), baru-baru ini.
Zainur Asshiken berkata, tandas di stesen minyak berkenaan akan di cuci dalam tempoh setiap 10 minit bagi menjamin kebersihan yang berterusan.
Malah katanya, pada jam 9.30 malam tandas di stesen minyak berkenaan akan di tutup bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan secara menyeluruh dibuat termasuk di surau yang sediakan.
"Alhamdulillah, tandas kita ni dapat anugerah sebagai tandas terbersih pada TOTYA 2023 lalu bagi kategori tandas terbersih.
"Sebenarnya dalam tempoh setiap 10 minit staf kita akan mop dan akan cuci tandas termasuklah dari segi landskap pun kita jaga.
"Pada hujung minggu atau hari cuti kelepasan am pun kita akan buat kerja-kerja pembersihan secara menyuluruh untuk tandas, surau dan landskap di sini," katanya.
Bagi seorang penghantar barang, Abdul Rashid Viran, 44, mengakui dia sememangnya singgah ke stesen minyak tersebut yang berada dalam laluannya bagi penghantaran barang.
Katanya, sepanjang dia singgah ke stesen minyak berkenaan, memang didapati keadaan tandas yang disediakan memang berada pada tahap terbaik untuk digunakan pengunjung.
"Tandas di sini memang cantik, memang bersih dan selesa lah... saya sanggup 'tahan' untuk buang air, kalau masih jauh.
"Memang saya puas hatilah... boleh cakap macam kat rumah sendiri dan sangat bersih," katanya.
Sementara itu, seorang lagi pengunjung stesen minyak berkenaan, Samad Kassim, 65, berkata, tahap kebersihan tandas serta surau di stesen minyak tersebut sememangnya berada pada tahap yang memuaskan.
Katanya, prestasi atau layanan mesra daripada kakitangan stesen minyak berkenaan kepada orang ramai juga berada pada tahap yang terbaik.
"Saya bekerja sebagai penyelia di sebuah kilang di Senai dan semestinya saya akan berulang alik dari rumah ke tempat kerja.
"Keadaan itu membuatkan saya selalu singgah ke stasen minyak ini hampir setiap hari.
"Secara keseluruhannya, saya dapati tempat solat, tandas termasuk layanan pekerjanya amat memuaskan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!