Lebih 100,000 warnai sambutan Hari Kebangsaan - Fahmi Fadzil
PUTRAJAYA - Sambutan Hari Kebangsaan 2024 berjalan lancar dengan lebih 100,000 pengunjung membanjiri Dataran Putrajaya di sini pada Sabtu, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan Hari Malaysia (HKHM) 2024 berkata, persembahan teres grafik manusia oleh 2,000 pelajar sekolah menengah dari Kuala Lumpur dan Selangor menjadi tarikan utama sambutan itu.
Fahmi berkata, persembahan berkenaan mendapat pujian barisan Jemaah Menteri dan pengunjung yang hadir.
"Mereka amat bertenaga dan ini mengingatkan kita tentang rasa cinta kepada negara. Saya rasa saya mesti tabik hormat kepada mereka dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pun berjumpa dengan mereka dan mengucapkan terima kasih,” katanya kepada pemberita selepas acara sambutan itu.
Sambutan tahun ini diserikan dengan keberangkatan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah buat kali pertama selepas Seri Paduka Baginda mengangkat sumpah jawatan serta ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17, masing-masing pada 31 Januari dan 20 Julai lepas.
Ditanya maklum balas Sultan Ibrahim mengenai acara sambutan itu, Fahmi berkata: "Seri Paduka Baginda amat gembira kita menepati masa, itu yang penting, alhamdullilah."
Bagaimanapun, Fahmi berkata, pihaknya akan mengadakan post-mortem bagi melihat penambahbaikan yang boleh dilakukan bagi penganjuran pada tahun-tahun akan datang.
"Alhamdulillah, Sambutan Hari Kebangsaan berjalan dengan baik dan lancar dan semua yang telah kita rancang dilaksanakan dengan baik dan saya rasa pengamatan sama ada maklum balas daripada Perdana Menteri, anggota Jemaah Menteri dan pengunjung yang sempat saya santuni, menunjukkan mereka merasa berpuas hati.
"Selepas ini, kita akan usahakan sedikit post-mortem untuk melihat apa yang kita boleh lakukan bagi pastikan tahun-tahun akan datang lebih baik daripada apa yang kita usahakan hari ini," katanya.
Fahmi turut mengucapkan terima kasih kepada semua jawatankuasa yang terlibat menjayakan Sambutan Hari Kebangsaan hari ini.
Pekarangan Dataran Putrajaya mula dipenuhi orang ramai sejak tengah malam tadi sekali gus menonjolkan semangat patriotik jiwa rakyat Malaysia.
Selain Dataran Putrajaya, acara sambutan di peringkat negeri turut mempamerkan semangat yang sama dalam kalangan masyarakat dengan menggabungkan penyatuan tradisi serta budaya daripada pelbagai kaum dan etnik.
Sambutan Hari Kebangsaan 2024 terbaik, tampil kepelbagaian kaum - Ahmad Zahid
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan sambutan Hari Kebangsaan ke-67 antara terbaik pernah dilaksanakan, dengan perubahan dalam acara pembuka dan penutup tirai.
Beliau berkata, pelbagai penambahbaikan kepada acara sambutan dengan pengisian menarik khusus perbarisan, menampilkan keunikan kepelbagaian kaum termasuk pakaian tradisional, muzik dan tarian kebudayaan masing-masing.
Ahmad Zahid berkata, acara penutup tirai juga menarik dan berbeza iaitu persembahan tarian bertajuk ‘Cuci Rasuah’ yang mencerminkan komitmen Kerajaan Madani, dalam menghapuskan amalan rasuah.
"Tahniah kepada Menteri Komunikasi (Fahmi Fadzil) dan Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2024, yang telah menghasilkan persembahan terbaik,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis sambutan Hari Kebangsaan 2024 dengan tema 'Malaysia Madani: Jiwa Merdeka', di sini pada Sabtu.
Sementara itu, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, seluruh rakyat Malaysia harus bersyukur kerana sekali lagi dapat menyambut Hari Kebangsaan dalam suasana aman dan semangat perpaduan.
"Negara ini aman, jauh daripada segala bencana dan rakyat hidup dengan sejahtera walaupun berbilang kaum, budaya, bahasa dan agama,” katanya.
Mohamad berkata, pertunjukan tahun ini menarik dengan penampilan lebih ramai golongan belia termasuk persembahan grafik kreatif oleh 2000 pelajar sekolah menengah Kuala Lumpur dan Selangor.
"Dikoordinasi dan dibuat dengan begitu baik. Mereka telah berlatih dua minggu dan satu persembahan yang baik telah dihasilkan,” katanya.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani pula menyifatkan sambutan tahun ini amat meriah dan seluruh rakyat Malaysia perlu rasa bangga kerana mencapai 67 tahun kemerdekaan.
"Apa yang penting sekarang adalah untuk semua kekalkan kemerdekaan ini dalam erti yang sebenar,” katanya.
Sambutan tahun ini diserikan dengan keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, serta barisan Jemaah Menteri dan perwakilan asing.
Acara perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan 2024 dijayakan 17,262 peserta, 57 kontinjen, 22 pasukan pancaragam, 343 aset darat, 37 aset udara dan 112 haiwan dalam perkhidmatan.
Sambutan Hari Kebangsaan luar biasa, satu padukan rakyat Malaysia
Barisan menteri Kabinet menyifatkan sambutan Hari Kebangsaan ke-67 di sini hari ini adalah luar biasa dan berjaya menyatukan rakyat tanpa mengira kaum, agama atau budaya.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata kehadiran rakyat Malaysia yang sangat ramai membuktikan sambutan berkenaan meriah serta menonjolkan semangat kebersamaan.
Beliau berkata, seluruh peringkat masyarakat dilihat bersama Kerajaan Perpaduan dan ia satu perkara yang baik dalam memacu negara ke tahap lebih tinggi.
"Kehadiran yang sangat baik hari, semangat kemerdekaan itu sangat penting untuk kita bawa negara ke depan,” katanya kepada Bernama.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad pula berkata, sambutan Hari Kebangsaan ke-67 kali ini sangat membanggakan dengan kehadiran yang luar biasa.
"Kita mahukan keamanan, keharmonian dan kestabilan yang ada ketika ini mengizinkan kerajaan untuk pacu pembangunan negara,” katanya.
Bagi Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, pelbagai persembahan menarik ditonjolkan dalam sambutan kali ini membuktikan rakyat kreatif dalam menzahirkan semangat patriotisme.
"Alhamdulilah ia satu sambutan yang cukup meriah dan seawal tengah malam, ada ramai rakyat berkhemah untuk lihat persembahan,” katanya.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, beliau teruja melihat kebersamaan rakyat Malaysia dalam meraikan sambutan Hari Kebangsaan hari ini.
"Nampak sambutan sangat baik, tahniah kepada Menteri Fahmi Fadzil atas penganjuran sambutan kali ini. Selamat Hari Kemerdekaan,” katanya.
Memasuki edisi keenam penganjurannya di pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan, sambutan Hari Kebangsaan di Putrajaya dianjurkan buat julung kalinya pada 2003, seterusnya pada 2005, 2018, 2019 dan 2023. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!