'Saya, anak kongsi tarikh lahir 31 Ogos'

Rizuan dan anaknya berkongsi tarikh lahir sama pada 31 Ogos.
Rizuan dan anaknya berkongsi tarikh lahir sama pada 31 Ogos.
A
A
A

SHAH ALAM - Hari Kebangsaan yang diraikan seluruh rakyat di negara ini menjadi detik paling istimewa buat Rizuan Jamil, 43, apabila berkongsi tarikh lahir sama dengan anak bongsunya, Muhammad Raif Uzair, 10.

Menurut Rizuan, semua itu secara kebetulan kerana Muhammad Raif dijangka dilahirkan seminggu selepas tarikh keramat itu.

"Bagaimanapun, saya bersyukur kerana tarikh itu amat istimewa dan bersejarah buat negara," katanya ketika ditemui pada Sabtu.

Rizuan yang juga seorang penjawat awam memberitahu, banyak kelebihan apabila menjadi 'anak merdeka'.

"Saya akui, keluarga dan rakan terdekat paling mudah mengingat tarikh ini kerana ia diraikan di seluruh negara.

"Saya pun selalu bergurau dengan rakan, kalau hari jadi saya tak payah disambut kerana memang satu Malaysia meraikannya setiap tahun," ujarnya.

Rizuan yang menetap di Seksyen 20 dekat sini memberitahu, perasaan setiap kali datangnya tarikh keramat itu sukar digambarkan dengan kata-kata, malah teruja dan tidak sabar menunggu tarikh berkenaan.

Jelasnya, tertanam perasaan cintakan negara dan semangat patriotik dalam dirinya kerana dilahirkan pada 31 Ogos.

Artikel Berkaitan:

"Saya dan anak bangga kerana menjadi sebahagian rakyat Malaysia dan akan terus meraikan hari kebangsaan," tambahnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!