Selangor pantau kadar kesuburan penduduk membimbangkan

Jamaliah (kiri) menyampaikan cenderamata kepada bayi merdeka HTAR pada Sabtu.
Jamaliah (kiri) menyampaikan cenderamata kepada bayi merdeka HTAR pada Sabtu.
A
A
A

KLANG - Kerajaan negeri mengambil langkah awal dengan memantau isu kadar kesuburan membimbangkan di Selangor.

Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin berkata, beberapa langkah telah dilakukan termasuk lawatan ke klinik perkhidmatan rawatan pensenyawaan in-vitro (IVF) dan berkaitan.

Menurutnya, antara inisiatif dilakukan termasuk kadar diskaun ditawarkan bagi pasangan yang memerlukan rawatan itu.

Selain itu katanya, terdapat beberapa kaedah lain yang boleh dilakukan untuk mengendalikan isu tersebut termasuk kerjasama antara portfolio dengan Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor di bawah Exco, Anfaal Saari.

"Pemantauan perlu dilakukan sekurang-kurangnya memastikan tahap kesuburan berada dalam keadaan sihat.

"Dari segi purata keadaannya masih baik, namun jika berlaku penurunan mendadak, perlu dilakukan sesuatu kerana boleh membawa impak kepada pembangunan negeri dan negara," katanya pada Sabtu.

Beliau berkata demikian selepas hadir ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah bagi meraikan kelahiran bayi merdeka.

Artikel Berkaitan:

Julai lalu, Anfaal pada Seminar Kependudukan Negeri Selangor (SKNS) 2024 memaklumkan, tahap kesuburan penduduk di empat negeri iaitu Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Sabah dan Selangor semakin membimbangkan.

Berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia kadar kesuburan di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang adalah sebanyak 1.2 anak; Sabah (1.3 anak) dan Selangor (1.6 anak).

Anfaal berkata, kadar berkenaan menunjukkan kecenderungan pasangan suami isteri di Selangor untuk memiliki kurang daripada dua anak.

Data kerajaan negeri mengenal pasti kira-kira 80 peratus disumbangkan oleh faktor ekonomi yang menjadi perkiraan suami isteri memiliki lebih daripada dua anak.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!