'Mahu lihat kelainan sambutan Hari Kebangsaan negeri lain'
IPOH - Kerana mahukan kelainan, tiga sekeluarga sanggup datang ke Ipoh dari Seberang Perai, Pulau Pinang untuk menyaksikan perarakan dan perbarisan sempena Sambutan Hari Kebangsaan Tahun 2024 Peringkat Negeri Perak di hadapan Dewan Bandaran Ipoh, Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab di sini pada Sabtu.
Chenetria Rashid, 60, berkata, pada asalnya mereka berhasrat untuk melihat sambutan tersebut di peringkat kebangsaan yang diadakan di Putrajaya, namun disebabkan keadaan kesihatannya tidak mengizinkan mereka sepakat untuk bermalam di sini sebelum menyaksikan sambutan tersebut di Perak.
"Memang niat kami datang sini nak tengok perarakan ini walaupun tak dapat tengok Yang di-Pertuan Agong di Putrajaya, tapi kami berpeluang tengok secara dekat Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Ipoh ini.
"Walaupun di Pulau Pinang pun ada sambutan, tapi nak tengok kelainan di tempat lain dan memang seronok sangat dapat datang dengan suami dan anak," katanya ketika ditemui sempena Sambutan Hari Kebangsaan Tahun 2024 Peringkat Negeri Perak di hadapan Dewan Bandaran Ipoh, Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab di sini pada Sabtu.
Chenetria yang berkerusi roda disebabkan masalah saraf ditemani suami, Mohd Patthi Abd Ghani, 64 dan anak perempuannya, Nor Kamilia Mohd Patthi, 34.
Sementara itu, seorang lagi pengunjung, Muhammed Badrul Haidar Riffat, 11, sanggup bangun seawal jam 2 pagi dari Gerik untuk datang ke Ipoh bagi menyaksikan perarakan dan perbarisan sempena Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat negeri.
Menurutnya, pengalaman kedua menyaksikan perbarisan dan perarakan itu sangat mengujakan selepas kali pertama tahun lalu.
"Saya datang berlima dengan ahli keluarga yang lain. Walaupun terpaksa bangun awal, rasa mengantuk hilang bila dapat tengok kemeriahan perarakan dan perbarisan tadi.
"Memang kalau ada lagi tahun depan saya nak datang.
"Ini tahun kedua berturut-turut saya datang dengan keluarga untuk tengok secara dekat anggota tentera, polis dan kenderaan-kenderaan yang digunakan mereka," katanya.
Seorang pelajar asing dari sebuah institusi pengajian tinggi swasta, Constance Essein, 20, turut teruja melihat Sambutan Hari Kebangsaan yang diadakan itu.
Katanya, seawal jam 6.30 pagi dia sudah terpacak di kawasan sekitar untuk menyaksikan perarakan tersebut bersama ribuan rakyat tempatan yang hadir.
"Ini merupakan pengalaman pertama kerana saya belum pernah menyaksikan sambutan hari kebangsaan mana-mana negara. Sebab itulah saya datang hari ini untuk merasai pengalamannya.
"Ia sesuatu yang amat mengujakan dan agak menarik sebenarnya dapat melihat rakyat Malaysia berkumpul meraikannya," katanya.
Terdahulu Sultan Nazrin berkenan berangkat ke Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Perak Tahun 2024 di hadapan Dewan Bandaran Ipoh, Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab, di sini pada Sabtu.
Keberangkatan baginda ditemani Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim bersama dua anakanda, Raja Kecil Besar Perak, Raja Datuk Seri Azlan Muzaffar Shah dan Raja Nazira Safya pada jam 8.15 pagi.
Turut berangkat Raja Muda Perak Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Idris Shah; Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Abdul Halim dan Raja Kecil Sulong Perak, Raja Datuk Seri Ahmad Nazim Azlan Shah Raja Ashman Shah.
Baginda diiringi Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan isteri, Datin Seri Aezer Zubin dan barisan exco kerajaan negeri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!