Selamat tinggal Kesatuan Eropah
LONDON - United Kingdom (UK) semalam akhirnya meninggalkan Kesatuan Eropah (EU) yang dianggotai negara itu selama 47 tahun selepas pasca Perang Dunia Kedua di bawah projek bertujuan membina semula negara Eropah yang terkesan akibat peperangan tersebut menjadi kuasa global.
Dalam peralihan geopolitik terbesar sejak kehilangan empayar global, Britain merealisasikan Brexit pada jam 11 malam (waktu tempatan) seperti dijanjikan Perdana Menteri, Boris Johnson sebagai satu permulaan era baharu negara yang mempunyai populasi kira-kira 66 juta penduduk itu selepas ia ditangguhkan beberapa kali sejak referendum Brexit pada tahun 2016.
Ribuan penyokong Brexit turut berkumpul di luar Parlimen Britain sambil mengibarkan bendera kebangsaan dengan rasa bercampur baur terhadap langkah bersejarah tersebut.
"Ini adalah hari yang hebat. Kita kini bebas. Kita telah laksanakan Brexit," kata penduduk di tenggara London, Tony Williams, 53.
Seorang lagi penduduk, Mark Leeds, 39, menyatakan, Britain kini mendapat kemerdekaan semula.
Sebelum ini, Brexit pernah dianggap sebagai satu perkara yang mustahil oleh golongan euroskeptik (pengkritik EU) selepas ia berdepan pelbagai bantahan sejak pungutan suara yang menyaksikan 52 peratus rakyat mengundi 'ya' untuk keluar daripada blok Eropah terbabit.
"Kebanyakan pihak melihat ia sebagai detik mengejutkan yang tidak mungkin akan berlaku. Tanggungjawab kami sebagai kerajaan dan tugas saya sebagai Perdana Menteri adalah untuk membawa negara dan rakyat ini bersama maju ke hadapan," kata Johnson.
Di Ireland Utara, kumpulan penentang Brexit bertindak mengadakan siri protes membantah langkah itu di Armagh berhampiran sempadan Republik Ireland.
Menteri Pertama Scotland, Nicola Sturgeon menerusi Twitter menyatakan Edinburgh akan kembali kepada Eropah sebagai sebuah merdeka yang turut disertakan hashtag #LeaveALightForScotland.
Sementara itu, pemimpin EU paling berkuasa seperti Canselor Jerman, Angela Merkel dan Presiden Perancis, Emmanuel Macron menyifatkan Brexit sebagai detik paling sedih buat Eropah.
EU pernah memberi amaran langkah meninggalkan blok terbabit bakal memberi impak lebih buruk.
Difahamkan, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump telah sekian lama menyokong Brexit malah Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo melihat Brexit sebagai usaha untuk melarikan diri daripada 'kekejaman' Brussels.
Sejurus langkah Brexit dilaksanakan, bendera kebangsaan Britain turut diturunkan di ibu pejabat EU di Belgium.
Bagaimanapun, UK masih dianggap sebagai anggota EU dalam tempoh peralihan sehingga akhir tahun ini. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!