BDS selar Duta AS, gesa rakyat Malaysia teruskan boikot

BDS Malaysia
BDS Malaysia
A
A
A

SHAH ALAM - Gerakan Boycott, Divestment, Sanctions Malaysia (BDS Malaysia) menyelar kenyataan Duta Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia, Edgard D Kagan berhubung tindakan boikot tidak akan memulihkan keadaan Gaza.

Sehubungan itu, gerakan berkenaan menggesa rakyat Malaysia untuk meneruskan langkah memboikot terhadap semua entiti yang menyokong genosid terhadap Palestin.

“Kami meminta agar dia (Kagan) untuk tidak menghina kecerdikan kami. Sungguh mengejutkan kenyataan sedemikian boleh datang daripada seseorang yang sejarah negaranya dari Revolusi Amerika hingga Pergerakan Hak Sivil dibentuk oleh boikot.

“Boikot merupakan protes yang memaparkan tradisi AS. Ia merupakan satu bentuk protes yang caranya membuka hati dan minda. Gerakan boikot ini tidak akan berhenti hanya kerana tidak membuahkan hasil sebaliknya akan diteruskan sehingga berkesan,” katanya menerusi satu kenyataan pada Sabtu.

Sebelum ini, Kagan dalam satu kenyataan mempersoalkan kesan praktikal terhadap tindakan boikot terhadap jenama-jenama yang menyokong genosid, khususnya seperti dilakukan rakyat Malaysia.

Tambah beliau, boikot seumpama itu akhirnya hanya akan merugikan pekerja Malaysia yang diambil bekerja oleh syarikat yang disasarkan.

Mengulas lanjut, BDS Malaysia, percubaan Kagan memperlekehkan keberkesanan boikot disangkal oleh fakta bahawa undang-undang anti-BDS telah diluluskan di 38 negeri di AS.

“Semuanya didorong (undang-undang diluluskan) oleh pihak penyokong Zionis yang bimbang akan keberkesanan kempen BDS terhadap sokongan AS kepada rejim Zionis Israel.

Artikel Berkaitan:

“Jika boikot tidak berkesan, mengapa perlu bersusah payah meluluskan undang-undang sedemikian?” soalnya.

Dalam pada itu, gerakan berkenaan menegaskan penderitaan yang menimpa rakyat Palestin bukan bermula pada 7 Oktober 2023 sebaliknya 76 tahun lalu.

Katanya, kejadian selepas 7 Oktober itu telah meragut nyawa lebih 40,000 orang awam termasuk 16,000 kanak-kanak dan 10,000 wanita.

“Israel telah membunuh 160 wartawan, 500 pekerja perubatan, 100 pendakwah Islam dan memusnahkan 24 hospital, 604 masjid dan tiga gereja. Hampir semua sekolah dan universiti telah musnah,” ujarnya.

Sementara itu, BDS Malaysia turut menegaskan bahawa sokongan tanpa syarat yang diberikan oleh kerajaan AS dalam cabang eksekutif dan perundangan hanya akan membawa kos besar kepada negara dan diri mereka sendiri.

Menurut gerakan itu, AS telah hilang kedudukan moral di seluruh dunia susulan penglibatan dalam pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan rejim Zionis terhadap rakyat Palestin di Gaza.

“Tidak ada cara AS boleh berdakwah atau memberi syarahan kepada seluruh dunia tentang demokrasi, hak asasi manusia dan menjelaskan nilai apabila menyokong (berpihak kepada Israel).

“Anda (AS) memberi perlindungan diplomatik kepada negara yang secara terang-terangan melanggar undang-undang antarabangsa dan melakukan jenayah perang. Anda juga menghormati penjenayah perang dengan menjemput mereka bercakap dengan penggubal undang-undang negara.

“Bagaimanakah AS boleh berpura-pura mempertahankan sesuatu yang progresif dan nyata? Berapa lama rakyat AS boleh tahan melihat duta dan utusan mereka bersuara menyokong pembunuhan beramai-ramai?” soalnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!