Beri ruang kepada Pau Marti kendali Harimau Malaya

Pau Marti
Pau Marti
A
A
A

PENGENDALI Harimau Malaya, Pau Marti Vicente perlu diberi ruang dan peluang untuk menunjukkan kebolehannya mengemudi pasukan negara.

Legenda bola sepak negara, Datuk Dollah Salleh percaya pengendali kelahiran Sepanyol itu mempunyai ramuan yang tersendiri untuk memacu Harimau Malaya pergi lebih jauh.

“Kena tengok dulu bagaimana cara dia (Pau Marti) mengendalikan pasukan negara dan tidak adil kalau nilai sekarang sebab kita belum tengok prestasinya.

“Mungkin dari segi permainan, dia akan bawa cara yang berbeza dari (Kim) Pan-gon sebab dia dari Sepanyol.

"Saya rasa kalau beri ruang masa yang cukup, mungkin tidak ada masalah sebab kalau tengok fokus bola Malaysia pun ke arah gaya permainan Sepanyol,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Konvoi Jiwa Merdeka Subang Jaya 2024, Sabtu.

Pau Marti diumumkan sebagai pengendali baharu Harimau Malaya susulan peletakan jawatan mengejut Pan-gon bulan lalu sebelum ini merupakan penolong kepada Pan-gon sejak tahun 2022.

Dalam pada itu, ketika ditanya berkenaan Pestabola Merdeka 2024 yang akan membuka tirai Rabu depan di Stadium Nasional Bukit Jalil, beliau berharap Malaysia mampu menjadi juara.

“Kalau kita tengok zaman dahulu, piala ini yang paling ditunggu-tunggu oleh pemain. Kalau dapat bermain untuk Malaysia (Pestabola Merdeka) rasa teruja.

Artikel Berkaitan:

“Kalau boleh memang harapan saya nak lihat piala itu kembali ke negara ini sebab ia satu kemegahan untuk kita,” katanya.

Saingan Pestabola Merdeka 2024 menyaksikan Malaysia akan bertemu Filipina manakala juara bertahan Tajikistan menentang Lubnan, masing-masing pada perlawanan separuh akhir, Rabu depan.

Pemenang kedua-dua perlawanan itu akan membuat perhitungan di final pada Ahad, manakala dua pasukan yang tewas akan bertemu pada perlawanan penentuan tempat ketiga pada hari yang sama. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!