Wajah seperti nenek, gadis 15 tahun buat pembedahan plastik

Xiaofeng (kiri) kelihatan tua dan kanan gambar selepas pembedahan. - Foto Weibo
Xiaofeng (kiri) kelihatan tua dan kanan gambar selepas pembedahan. - Foto Weibo
A
A
A

SHENYANG - Seorang gadis terpaksa membuat pembedahan plastik bagi mengatasi masalah penuaan yang dialaminya hingga menjadikan wajahnya tidak ubah seperti seorang nenek.

Remaja tersebut, Xiaofeng, 15, dari Liaoning, Shenyang, China menderita masalah penuaan dinamakan progeria yang menyebabkan wajahnya seperti seorang warga emas berusia 60 tahun.

Xionfeng berkata, keadaan kulit wajahnya itu berlaku sejak dia berusia setahun yang mana waktu itu dia kelihatan seperti seorang wanita dewasa hingga mendapat liputan meluas daripada pelbagai agensi media di Asia, lapor Oddity Central.

Menurutnya, keadaan kulitnya yang kedut dan kendur membuatkan dia sering dibuli pelajar nakal di sekolahnya hingga remaja itu mengambil keputusan berhenti sekolah dan duduk di rumah menjaga burung peliharaan keluarganya.

“Kadang-kadang orang panggil mak cik atau nenek. Ia membuatkan saya sedih. Dengan keadaan saya sekarang, saya tak mahu ke sekolah. Jika saya ubah penampilan, barulah saya akan ke sekolah kembali.

“Saya tak perlu menjadi cantik, saya cuma mahu hidup seperti remaja lain tanpa kelihatan pelik daripada orang lain,” katanya.

Terdahulu, kisah menyentuh hati remaja tersebut mendapat perhatian seorang dermawan China yang secara sukarela menguruskan kutipan untuk membiayai kos pembedahan plastik bagi mengembalikan keremajaan kulitnya.

Xiaofeng berani tampil berhadapan dengan dunia dengan menunjukkan kesan perubahan selepas pembedahan itu dalam satu sidang media pada 20 Januari lalu. - Foto Weibo
Xiaofeng berani tampil berhadapan dengan dunia dengan menunjukkan kesan perubahan selepas pembedahan itu dalam satu sidang media pada 20 Januari lalu. - Foto Weibo

Artikel Berkaitan:

Ramai orang awam turut menyumbang bagi membantu gadis itu.

Xiaofeng selamat melakukan pembedahan peremajaan pada mukanya, membetulkan hidungnya, serta kedut pada sekitar mulutnya pada 29 Disember lalu.

Kos pembedahan terbabit berjumlah 500,000 yuan (RM293,555), namun Pengarah Shenyang Sunline Plastic Surgery Hospital memberikan potongan diskaun sebanyak 70 peratus kepada gadis itu.

Sementara itu, gadis berkenaan telah berani tampil berhadapan dengan dunia dengan menunjukkan kesan perubahan selepas pembedahan itu dalam satu sidang media pada 20 Januari lalu.

Dia yang menanam impian menjadi doktor turut mengumumkan untuk kembali ke sekolah.

“Sekarang saya sangat gembira dan rasa lebih berkeyakinan kerana sudah cantik. Selepas melalui pembedahan ini, saya percaya ada keajaiban dalam dunia ini.

“Saya akan sambung pengajian dalam bidang perubatan kerana saya mahu menjadi doktor bagi membantu dan menyebarkan kasih sayang kepada orang lain,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!