Dataran Merdeka tetap jadi tumpuan rakyat zahirkan rasa cinta kepada negara

Orang ramai tidak melepaskan peluang menyambut Hari Kebangsaan ke-67 ketika tinjauan di Dataran Merdeka, pada Sabtu. Foto Bernama
Orang ramai tidak melepaskan peluang menyambut Hari Kebangsaan ke-67 ketika tinjauan di Dataran Merdeka, pada Sabtu. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dataran Merdeka di sini tetap menjadi tumpuan orang ramai untuk merasai kemeriahan Sambutan Hari Kebangsaan 2024 meskipun tidak menjadi lokasi bagi acara perarakan dan perbarisan sempena hari bersejarah negara itu.

Tinjauan Bernama mendapati kawasan itu tidak lengang dengan orang ramai yang datang mengenakan pelbagai baju bertemakan Hari Kebangsaan sambil berswafoto berlatar belakangkan bangunan bersejarah seperti Bangunan Sultan Abdul Samad sebagai kenangan.

Demi menyemarakkan ‘jiwa merdeka’ dengan lebih bermakna, seorang suri rumah sanggup meredah perjalanan selama tiga jam dari Perak ke Dataran Merdeka semata-mata untuk mencipta kenangan di lokasi penuh bersejarah itu bersama keluarganya.

Biarpun terpaksa bertolak seawal jam 8 pagi, Nurizan Jaffor Ghani, 34, berkata, beliau tetap bersemangat apatah lagi dapat menyambut hari ulang tahun perkahwinannya yang ke-13 pada tarikh keramat itu.

Mohamad Nazrin Zainon Abdidin, 32 (kanan) mengambil gambar isteri Nurizan Jaffor Ghani, 34 (kiri, belakang) dan anak-anaknya yang memakai pakaian bercorak Jalur Gemilang sempena Hari Kebangsaan ke-67 ketika tinjauan di Dataran Merdeka, pada Sabtu. Foto Bernama
Mohamad Nazrin Zainon Abdidin, 32 (kanan) mengambil gambar isteri Nurizan Jaffor Ghani, 34 (kiri, belakang) dan anak-anaknya yang memakai pakaian bercorak Jalur Gemilang sempena Hari Kebangsaan ke-67 ketika tinjauan di Dataran Merdeka, pada Sabtu. Foto Bernama

"Ini merupakan kali pertama saya datang ke sini untuk sambut Hari Kebangsaan dengan suami dan tiga anak saya sebab nak rasakan sendiri suasana yang berlatar belakangkan bangunan lama. Kami sempat ambil peluang berswafoto sebagai tanda kenangan di tempat ikonik ini,” katanya ketika ditemui di Dataran Merdeka, pada Sabtu.

Bagi menzahirkan lagi semangat cintakan negara, Nurizan mengenakan tudung bertemakan Jalur Gemilang manakala anak-anaknya turut mengenakan pakaian bercorak bendera Malaysia hingga menarik perhatian pelancong luar untuk bergambar.

Sementara itu, Azmi Mansor, 68, juga mencuri perhatian umum apabila kereta Proton Tiara berusia 28 tahun miliknya yang diparkir di tepi jalan menjadi tempat orang awam bergambar sebagai kenangan apabila sekeliling kereta itu dihiasi dengan jalur gemilang.

Artikel Berkaitan:

"Pak cik cat sendiri kereta ini selama 12 jam guna cat minyak manakala sekeliling kereta dihiasi dengan bendera kecuali bahagian cermin dan lampu,” katanya sambil berkongsi modal dikeluarkan adalah RM800.

Bagi Dr Norshidah Abd Moti, 45, walaupun tidak berkesempatan merasai kemeriahan sambutan hari kemerdekaan di Dataran Putrajaya seperti tahun sebelumnya, beliau tetap mengambil peluang ke Dataran Merdeka untuk bergambar sebagai kenangan dengan keluarganya.

"Biasanya saya akan sambut di lokasi perarakan, tetapi tahun ini tidak sempat tempah hotel sebab itu saya hanya raikan di sini lagi pun ia dekat dengan rumah,” katanya sambil melahirkan rasa syukur dengan keharmonian negara yang dikecapi hingga kini.

Peguam, Paizah Abdul Hamid, 62 (kanan) bersama ahli keluarganya menyambut Hari Kebangsaan ke-67 ketika tinjauan di Dataran Merdeka, pada Sabtu. Foto Bernama
Peguam, Paizah Abdul Hamid, 62 (kanan) bersama ahli keluarganya menyambut Hari Kebangsaan ke-67 ketika tinjauan di Dataran Merdeka, pada Sabtu. Foto Bernama

Senada dengannya, Paizah Abdul Hamid, 62, berkongsi kehadirannya di bangunan penuh bersejarah itu bukan sahaja mengimbau saat awal kariernya menjadi peguam, malah membuatkan beliau lebih terpanggil untuk menyumbang selagi ada kudrat kepada masyarakat supaya dapat hidup dengan selesa.

"Cara nak tunjukkan sayang kepada negara bukan sahaja dengan sambutan tetapi kita juga boleh beri semula kepada masyarakat dengan kerja-kerja amal tanpa kira agama seperti gotong-royong, ikut kemampuan kita. Mana kita boleh bantu kita bantu, uar-uarkan tentang negara kita,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!