Tanah Jerlus: Peniaga harap ada sinar baharu

Kawasan premis perniagaan di Jalan Masjid India suram selepas kejadian tanah jerlus yang menimpa wanita warga India baru-baru ini. Gambar kecil dari kiri: Nani, Norhamiza
Kawasan premis perniagaan di Jalan Masjid India suram selepas kejadian tanah jerlus yang menimpa wanita warga India baru-baru ini. Gambar kecil dari kiri: Nani, Norhamiza
A
A
A
KUALA LUMPUR - Peniaga dekat Jalan Masjid India, di sini, lega dengan jaminan diberikan kerajaan berhubung kerja-kerja pemulihan yang akan dijalankan selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dilaksanakan sebelum ini ditamatkan pada Sabtu. Seorang peniaga yang ditemui, Norhamiza Abdullah, 49, berkata, dia secara peribadi melahirkan rasa sedih berhubung tragedi menimpa wanita warga India yang hilang akibat tanah jerlus sebelum ini. "Jujur saya katakan, saya sedih dengan kejadian yang menimpa itu, kejadian itu turut beri kesan terhadap perniagaan yang kami jalankan. "Pelanggan pula semakin kurang selepas kejadian itu, mereka kata takut berlaku sebarang kejadian tidak diingini dan perkara itu memberi kesan kepada jualan kami," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu. Menurutnya, proses pemulihan yang dinyatakan akan dijalankan selepas ini memberikan kelegaan terhadapnya dan peniaga-peniaga lain. "Alhamdulillah, syukur atas kerja-kerja pembaikan yang dinyatakan selepas ini, sekurangnya selepas proses itu selesai ia akan berikan keyakinan kepada orang ramai untuk kembali membeli belah di kawasan ini. "Mungkin proses itu akan mengambil masa, tapi tak mengapa, janji semua akan pulih seperti biasa dan ia secara tak langsung akan membantu perniagaan kami kembali dikunjungi orang ramai," katanya. Seorang lagi peniaga, Nani Farouk, 49, berkata, usaha pembaikan di kawasan yang terbabit dengan insiden tanah jerlus ini perlu dijalankan secepat mungkin. "Peniaga di sini amat terkesan khususnya kami yang berniaga secara kecil-kecilan, sebab sepanjang tempoh pencarian mangsa dijalankan memang perniagaan kami merosot. "Saya harap kerja pembaikan yang dinyatakan oleh kerajaan dapat dilaksanakan secepat mungkin supaya kami para peniaga dapat bernafas semula," katanya. Sementara itu, pekerja sebuah premis perniagaa, Sarine Shamima Bahurdeen, 47, berkata, kejadian itu menyebabkan perniagaan dijalankan majikannya turut merosot ekoran pelanggan berkurangan. "Saya risau apabila operasi mencari dan menyelamat dihentikan kerana mangsa masih belum lagi ditemui, namun masa kerja-kerja baik pulih juga perlu dijalankan memandangkan jumlah orang ramai masuk ke kawasan ini mula berkurangan selepas kejadian itu. "Pengunjung menyatakan mereka kurang yakin terhadap tahap keselamatan di kawasan ini," katanya. Terdahulu, Menteri Wilayah Persekutuan Dr Zaliha Mustafa berkata, pihaknya akan meneruskan kerja pemulihan selepas penamatan usaha mencari dan menyelamat (SAR) ini. Beliau berkata, sesi libat urus antara peniaga juga akan dilaksanakan bagi menyambung kembali aktiviti di kawasan ini serta pihak DBKL juga diminta melakukan kerja pembaikan semula. Jelas beliau, kawasan dari Pintu Gerbang sehingga ke Pasaraya Mydin dengan jarak 100 meter akan dipastikan tidak dilalui oleh pengunjung bagi kerja pemulihan dan pembinaan semula.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!