Segera tangani masalah projek kemudahan Kampung Bumiputera Dalam
JOHOR BAHRU – Pihak berwajib diminta segera menangani masalah projek kemudahan awam di Kampung Bumiputera Dalam dekat sini yang masih belum dilaksanakan walaupun sudah dua tahun ia diluluskan.
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Johor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, peruntukan serta tapak projek yang sudah diluluskan itu melibatkan pembinaan tandas, lampu limpah dan rumah sampah di kompleks perniagaan perabot terpakai di kawasan berkenaan.
"Ia sudah pun diluluskan dan dikenal pasti. Sudah banyak kali perkara ini dibangkitkan dalam mesyuarat tindakan daerah Batu Pahat dan Exco Kemajuan Luar Bandar Johor, Datuk Zahari Sarip juga telaht melawat tapak projek berkenaan, 11 Jun lalu.
“Bagaimanapun sehingga ke hari ini, masih belum ada tindakan. Macam menunggu buah tak gugur. Sudah dua tahun berlalu, tidak dilaksana juga dan lokasi pembuangan sampah juga wajar diubah kerana ia mencacatkan pemandangan,” katanya yang dimuat naik dalam catatan di facebooknya.
Sementara itu, Mohd Puad turut mencadangkan pembinaan sebuah rumah bagi keluarga miskin, Marliana Bahari yang kini terpaksa menumpang di kedai perabot dan barangan terpakai di Kampung Bumiputera dekat sini.
Menurutnya, Marliana yang dipercayai daripada masyarakat Orang Asli Rengit kini menumpang di premis berkenaan bersama lima anaknya anaknya yang masih bersekolah masing dua orang di sekolah rendah dan sekolah menengah.
“Mereka sekeluarga tidur tanpa bilik khas dan tilam. Alasannya kerana kad pengenalan dia tidak didaftar status Orang Asli.
“Dah tahu dia Orang Asli, daftarkanlah semula sebagai Orang Asli. Jadinya keluarga ini terus hidup menumpang atas alasan birokrasi.
“Di kesempatan ini, saya turut merayu kepada pihak prihatin untuk menyumbang dana bagi membina sebuah rumah buat keluarga ini. Dapat pondok kecil RM30,000 pun sudah memadai,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!