'Anak Merdeka' sebar mesej perpaduan untuk mendepani neokolonialisme
KUALA LUMPUR - ‘Anak merdeka’ mempunyai tanggungjawab besar dalam menyebarkan mesej perpaduan dan menanam bibit keharmonian dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa, agama dan budaya bagi mendepani cabaran neokolonialisme.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, neokolonialisme lebih kepada penjajahan fikiran, budaya, ideologi yang kini begitu pantas disebarkan melalui media sosial dan boleh memberi kesan kepada keharmonian jika tidak ditangani dengan baik.
"Kalau dulu sebelum mencapai kemerdekaan, kita berhubung secara tradisional iaitu melalui akhbar dan lain-lain. Sekarang kita guna media sosial yang membawa mesej dengan begitu pantas.
"Media sosial sangat penting namun apa juga yang kita dapat perlu selidik dari bawah,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Anak Merdeka 2024 di Memorial Tun Hussein Onn di sini pada Sabtu.
Program yang dianjurkan Arkib Negara Malaysia dengan kerjasama Persatuan Warisan Anak Merdeka Kuala Lumpur dan Selangor itu menghimpunkan 30 anak merdeka (rakyat Malaysia yang lahir pada 31 Ogos) bagi meraikan hari jadi mereka.
Mengenai penganjuran Sambutan Anak Merdeka itu, Aaron berkata. ia program tahunan Arkib Negara Malaysia bagi mengukuhkan identiti kebangsaan dan semangat patriotisme generasi muda melalui pemahaman lebih mendalam mengenai sejarah kemerdekaan negara.
"Saya menyeru agar generasi pascamerdeka khususnya golongan muda sentiasa menjadikan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara sebagai panduan serta asas rukun kehidupan seharian.
"Kepelbagaian rakyat Malaysia merupakan satu kelebihan dan aset yang amat penting dan berharga dalam pembangunan negara,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!