Kes pemerdagangan orang: Polis buka kertas siasatan terhadap bekas timbalan menteri

Saifuddin Nasution (kanan) menziarahi warga emas, Rajab Che Embong, 70 (kiri) pada Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) Penyerahan Dokumen Pengenalan Diri di Kampung Baru Pulau Redang, pada Sabtu. Foto Bernama
Saifuddin Nasution (kanan) menziarahi warga emas, Rajab Che Embong, 70 (kiri) pada Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) Penyerahan Dokumen Pengenalan Diri di Kampung Baru Pulau Redang, pada Sabtu. Foto Bernama
A
A
A

KUALA NERUS - Polis Diraja Malaysia telah membuka kertas siasatan berhubung dakwaan penglibatan seorang bekas timbalan menteri dalam sindiket pemerdagangan orang di Myanmar.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, yang mengesahkan perkara itu, bagaimanapun enggan mengulas lanjut bagi mengelakkan sebarang spekulasi.

"Polis sudah membuka kertas siasatan dan saya letak sepenuh kepercayaan terhadap profesionalisme polis apabila mereka sudah buka fail tentang perkara itu," katanya kepada pemberita selepas Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) Penyerahan Dokumen Pengenalan Diri di Balai Raya Pulau Redang di sini pada Sabtu.

Media sebelum ini melaporkan Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia telah menyerahkan laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pada Rabu lepas untuk menyiasat seorang ahli politik bersama suaminya yang didakwa terlibat dengan sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar.

Saifuddin Nasution turut memaklumkan hasil Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN mengenai Jenayah Rentas Sempadan di Laos yang dihadirinya baru-baru ini.

"Apa yang diperakukan oleh semua negara ialah trend pemerdagangan orang yang semakin meningkat,” katanya.

Beliau berkata, hampir semua negara ASEAN memiliki undang-undang bagi mengekang jenayah itu termasuk Malaysia iaitu Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!