Paralimpik 2024: Yusof Hafizi,Adi Raimie kempunan ke final

Mohamad Yusof Hafizi Sharuddin.
Mohamad Yusof Hafizi Sharuddin.
A
A
A

JAGUH berbasikal paralimpik negara, Mohamad Yusof Hafizi dan rakan sepasukannya Muhammad Adi Raimie Amizazahan terkandas lagi di peringkat kelayakan, kali ini dalam acara 1,000 meter (m) ujian masa lelaki C1-3 (kecatatan fizikal) pada Sukan Paralimpik Paris 2024.

Yusof Hafizi melintasi garisan penamat dengan berada di kedudukan kelapan secara keseluruhan menerusi catatan 1 minit 09.487 saat (s), manakala Muhammad Adi Raimie yang merekodkan 1:13.780s di kedudukan ke-11 pada saingan di Velodrom Saint-Quentin-en-Yvelines, kira-kira setengah jam perjalanan dari sini.

Pelumba China, Li Zhangyu mendominasi acara tersebut dengan catatan 1:03.777s. Hanya enam pelumba teratas dalam pusingan kelayakan mara ke final.

Ketua jurulatih skuad berbasikal para negara, Johari Mohd Nayan, bagaimanapun tetap berpuas hati dengan kayuhan Yusof Hafizi apabila beliau secara keseluruhannya mengekalkan ranking ketiga terbaik dalam kelasnya sahaja, sekali gus menyamai pencapaian ketika meraih gangsa 1,000m ujian masa lelaki C1 pada Kejohanan Dunia di Brazil, pada Mac.

"Bagi saya persembahan keseluruhan kedua-dua pelumba okay dan tiada masalah hari ini, cuma saya harap Muhammad Adi Raimie akan cuba mengejar kedudukan kelompok ke-20 terbaik dalam perlumbaan lebuh raya lelaki C1-3 pada 7 Sept ini, kerana peluangnya baik berbanding Yusof Hafizi," katanya.

Beliau pada masa mahu melihat Yusof Hafizi melengkapkan kayuhan pada acara perlumbaan lebuh raya dijadual berlangsung 7 Sept ini, selepas tidak berjaya berbuat demikian ketika penampilan sulung di Tokyo 2020.

Khamis lepas, atlet kelahiran Kuala Kangsar itu tidak berjaya ke peringkat akhir acara 3,000m kejar-mengejar individu lelaki C1, apabila menduduki tempat kelima daripada tujuh pelumba secara keseluruhan dengan catatan 3:55.254 saat (s).

Semalam, Muhammad Adi Raimie juga terlepas peluang ke final selepas berada di tempat terakhir pusingan kelayakan acara 3,000m kejar-mengejar individu lelaki C3, menerusi catatan 3:47.922s. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!