Banci Pertanian 2024 kenal pasti struktur pertanian negara
Pengarah Bahagian Perangkaan Pertanian dan Alam Sekitar, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Fuziah Md Amin berkata, data daripada banci pertanian akan menghasilkan input yang diperlukan sama ada oleh penggubal dasar, pihak industri, penyelidik dan ahli akademia mahupun petani.
“Bayangkan setelah 19 tahun kita tidak melaksanakan apa-apa bancian berkaitan pertanian, kita tiada gambaran menyeluruh dan tepat berkenaan apa yang sebenarnya berlaku dalam sektor pertanian ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Interviu bertajuk Banci Pertanian 2024: Beri Manfaat Untuk Semua! dihoskan Haizir Othman yang berlangsung di Ibu Pejabat DOSM di sini, pada Khamis.
Ujar beliau, sepanjang 19 tahun, data yang ada hanyalah berdasarkan statistik yang dikutip dan dijana oleh pelbagai kementerian dan agensi bagi memenuhi keperluan dan objektif agensi masingmasing.
“Mengambil contoh, kalau kita bercakap berkenaan dengan tanaman, ia ada di Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), kalau komoditi ianya di Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK), sekiranya perhutanan ada di Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES).
“Tetapi di manakah platform atau tempat untuk kita gabungkan maklumat terkini dan relevan yang akan digunakan untuk tujuan pembangunan?
“Antara lain juga, apabila DOSM melaksanakan banci pertanian ini, ia akan menjadi satu penanda aras untuk kerajaan melaksanakan apa-apa program atau dasar,” jelas Fuziah.
Empat jenis kajian
Menurut Fuziah, terdapat empat jenis kajian dikumpulkan dalam bancian tersebut yang berkaitan pelaksanaan, keinginan, keperluan, dan pemantauan.
“Mengapa kita perlu mengumpulkan semua ini dalam satu bancian yang besar dan komprehensif?
“Pertanian merangkumi tanaman, ternakan, perikanan akuakultur, pembalakan, dan perhutanan. Jadi, adalah penting apabila bercakap mengenai strategi, kita menggunakan satu konsep atau metodologi dan definisi yang sama,” katanya.
Jelas beliau, DOSM menggunakan konsep, definisi serta takrifan telah dikeluarkan Food and Agriculture Organisation (FAO), Pertubuhan BangsaBangsa Bersatu (PBB) berdasarkan manual World Census Agriculture yang digunakan oleh semua negara.
“Kita tidak nafikan ada statistik di agensi tetapi keperluan maklumat lain antaranya apabila bercakap mengenai pertanian ini, ianya tidak dapat lari daripada pengeluaran, penggunaan tenaga dan keluasan tanah,” katanya.
Berbaki beberapa hari lagi, Banci Pertanian 2024 yang dijalankan DOSM dengan kerjasama KPKM, KPK dan NRES serta pelbagai agensi di negeri akan genap dua bulan sejak dilancarkan 7 Julai lalu.
Kali terakhir dilaksanakan pada tahun 2005 iaitu hampir 19 tahun lalu, Banci Pertanian 2024 sedang berlangsung sehingga 10 Oktober depan.
Ujar Fuziah, Banci Pertanian mempunyai keistimewaannya tersendiri berbanding Banci Penduduk dan Perumahan serta Banci Ekonomi kerana ia merangkumi keseluruhan sektor pertanian dari huluan ke hiliran termasuk aspek seperti tanaman, ternakan, dan perikanan, serta semua tahap dalam rantaian pengeluaran.
“Banci ini memberikan gambaran menyeluruh mengenai sektor pertanian. Ini termasuk mengumpulkan data dari semua tahap pertanian iaitu pengeluaran awal hingga pengedaran produk.
“Banci ini penting untuk merancang dan membuat dasar yang berkesan bagi pembangunan sektor pertanian dan memahami keperluan serta cabaran yang dihadapi oleh petani,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, Banci Pertanian turut memfokuskan kepada isuisu semasa seperti perubahan iklim, yang mungkin tidak diliputi dalam banci lain.
“Dengan mengumpulkan data yang komprehensif mengenai sektor ini, kita dapat merancang strategi yang lebih baik dan menyeluruh untuk meningkatkan keberkesanan dan daya saing sektor pertanian,” katanya.
Fuziah berkata, Banci Pertanian juga meliputi gabungan pertubuhan perniagaan dan isi rumah.
Membantu mewujudkan indikator baharu
Fuziah berkata, apabila bancian selesai dilaksana, data yang diperoleh akan dijadikan sebagai input penting untuk penyediaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) iaitu membantu dalam perancangan dan penetapan dasar yang berkaitan dengan sektor pertanian.
Tambahnya, dapatan daripada bancian itu akan digunakan untuk menambah baik atau merancang dasardasar baharu seperti Buku Dasar Agromakanan, Dasar Dasar Agrikomoditi, Dasar Perhutanan Negara dan Dasar Kebun Komuniti.
“Ia sekali gus memastikan bahawa dasar-dasar tersebut kekal relevan. Banci ini juga akan membantu dalam memenuhi sasaran Sustainable Development Goals (SDG) kerana tujuh daripada 17 maklumat di dalamnya berkaitan dengan sektor pertanian.
“Data yang dikumpulkan akan membantu dalam merangka strategi untuk mencapai matlamat tersebut,memastikan pembangunan yang mampan dalam sektor pertanian,” katanya.
Jelas beliau, Banci Pertanian akan membantu dalam mewujudkan indikatorindikator baharu seperti kesan perubahan iklim terhadap sektor pertanian.
“Ini termasuk mengukur sejauh mana perubahan cuaca mempengaruhi pengeluaran pertanian dan langkah penyesuaian yang diperlukan.
“Dari segi penggunaan tanah, data ini akan membantu dalam memahami bagaimana tanah digunakan untuk pertanian dan apa perubahan yang mungkin perlu dilakukan,” katanya.
Sementara itu, maklumat mengenai pencemaran yang berlaku dalam sektor pertanian juga akan dikumpulkan.
“Ini termasuk pencemaran tanah, air, dan udara yang mungkin disebabkan oleh aktiviti pertanian serta langkah-langkah mitigasi yang perlu diambil,” katanya.
Tambahnya, kerajaan boleh mengenalpasti tahap tenaga mengikut jenis kemahiran dan kewarganegaraan dalam sektor pertanian.
“Ini akan membantu dalam merancang strategi untuk meningkatkan kecekapan tenaga dan mengurangkan kos dalam sektor pertanian.
“Dengan maklumat ini, kita dapat merangka langkah-langkah yang lebih berkesan untuk menangani isu-isu semasa dan memajukan sektor pertanian dengan lebih baik,” kata Fuziah.
Kumpulan sasar
Menurut Fuziah, terdapat tiga kumpulan sasar Banci Pertanian yang telah ditetapkan.
“Bagi kumpulan yang melakukan aktiviti pertanian untuk jualan sepenuhnya, di sini kita boleh mengumpul data mengenai jumlah pengeluaran, jenis produk dan saluran pemasaran.
“Terdapat juga kumpulan yang menjalankan aktiviti pertanian untuk kegunaan sendiri dengan jualan tambahan. Ini akan membantu pihak berkaitan dalam memahami bagaimana hasil pertanian digunakan dan dijual.
“Jika ada petani yang tidak dikunjungi dalam tempoh pelaksanaan banci ini, anda boleh hadir ke Pejabat DOSM Negeri dan daerah yang berdekatan,” katanya.
Ditanya mengenai soalan yang disentuh dalam bancian tersebut, beliau berkata, antaranya jumlah kuantiti yang dihasilkan dalam aktiviti pertanian, pendapatan dan perbelanjaan bagi tujuan pertanian, amalan pertanian dan maklumat eksport.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!