Galak penyertaan belia dalam sektor pengeluaran getah asli
KOTA TINGGI - Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), akan terus menggalakkan penyertaan golongan belia terlibat secara aktif dalam sektor pengeluaran hasil getah asli.
Pengerusinya, Manndzri Nasib berkata,ia bertujuan untuk memastikan Malaysia kembali muncul sebagai antara gergasi pengeluar hasil getah dunia.
Menurutnya, sektor penanaman getah kini dilihat mempunyai potensi dalam memberikan pendapatan yang baik kepada pengusahanya menerusi pelbagai variasi program bantuan sokongan yang disediakan oleh RISDA.
“Melalui penyertaan Program Tanam Semula RISDA sebagai entry point, RISDA telah menyediakan bantuan program pembangunan kebun getah dengan nilai RM13,710 bagi setiap hektar di semenanjung manakala dengan nilai RM14,805 dan RM14,955 bagi setiap hektar di Sarawak dan Sabah,” katanya.
Manndzri berkata demikian sempena Program Kembara Merdeka Generasi Muda RISDA (KGMR) peringkat Negeri Johor pada Jumaat.
Difahamkan, program yang disertai seramai 67 ahli KGMR itu melibatkan perjalanan sejauh 152 kilometer (km) yang bermula dari pejabat RISDA Negeri Johor hingga ke Bandar Tenggara, Kota Tinggi.
Menurut Manndzri, pekebun-pekebun kecil yang berdaftar dengan RISDA turut mempunyai peluang menerima bantuan-bantuan lain yang disediakan seperti Program Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET), Program Agromakanan dan pelbagai bantuan lain untuk pembangunan pekebun kecil.
“Bagi Program Ekonomi Tambahan (ET), bantuan berupa geran dengan nilai permulaan sebanyak RM10,000 disediakan kepada semua pekebun kecil RISDA.
"Program Agromakanan pula menyediakan bantuan berbentuk geran bermula RM20, 000 sehingga RM300,000 dengan skop bantuan meliputi tanaman jangka pendek dan ternakan yang boleh diusahakan secara individu atau berkumpulan," katanya.
Perkasa pekebun kecil
Menurut Manndzri yang juga Ahli Parliman Tenggara, sejak penubuhannya, RISDA telah memainkan peranannya bukan hanya dalam melaksanakan program penanaman getah, malah sentiasa berusaha bagi memperkasakan komuniti pekebun kecil getah ke arah kehidupan yang baik.
Beliau berkata, ia dilaksanakan melalui pelbagai inisiatif pembangunan institusi dan modal insan melalui program seperti KGMR, Pergerakan Wanita Pekebun Kecil (PWPK), Koperasi Pekebun Kecil (KPK), Penggerak Wanita RISDA (Pewaris), Program Tuisyen Rakyat dan lain-lain.
“RISDA menyasarkan untuk terus meningkatkan penglibatan belia lebih aktif dalam sektor penanaman getah kerana ia bukan hanya untuk memperkasakan sektor getah tetapi untuk memastikan kemakmuran dan kebahagian komuniti.
“Ini selaras dengan Aspirasi Desa Madani yang dicetuskan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
"Secara kesuruhannya, RISDA sentiasa membuka peluang kepada masyarakat umum terutamanya golongan belia untuk menceburi sektor penanaman getah dengan menyediakan khidmat nasihat dan teknikal berkesan.
“Ia bertujuan untuk memastikan tanaman getah membawa pulangan yang bermanfaat sekali gus memberikan kemakmuran dan kebahagiaan kepada komuniti pekebun kecil getah,” katanya.
Sambutan kemerdekaan
Sementara itu, Manndzri berkata, sempena sambutan Bulan Kemerdekaan ke-67, RISDA mengambil inisiatif menganjurkan program Kembara Merdeka yang diketuai oleh dirinya sendiri.
Katanya, penglibatan seramai 67 ahli KGMR dari negeri itu adalah sebagai simbolik kepada sambutan ulang tahun kemerdekaan negara ke-67.
“Selain membawakan elemen bagi menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan golongan belia dan memperkasakan peranan generasi yang menjadi pelapis kepada komuniti pekebun kecil, KGMR turut mempromosikan Program Tanam
Semula bersama RISDA melalui edaran risalah.
“Ini dilakukan dalam usaha mempromosikan pelbagai informasi penanaman getah kepada masyarakat setempat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!