Zul Ariffin sedar diri
KELIBAT aktor ini dalam industri seni sememangnya tidak perlu diperkenalkan lagi, sementelah sudah hampir dua dasawarsa bergelar anak seni.
Bahkan dalam tempoh itu, Zulklifi Ariffin atau lebih dikenali sebagai Zul Ariffin sudah membukti kewibawaannya sebagai pemain wayang menerusi beberapa trofi seperti Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-31, Pelakon Harapan Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-26 dan banyak lagi.
Malah pada usia hampir 38 tahun, aktor tinggi lampai ini masih mendapat kepercayaan penerbit dan pengarah untuk menjadi teraju utama naskhah.
Filem terbaharu lakonannya, Sheriff: Narko Integriti berjaya meraih kutipan pecah panggung sebanyak RM64 juta.
Mengulas mengenai kejayaan itu, Zul berkata, hasil kutipan itu bukan disebabkan beliau semata-mata, tetapi atas kerja satu pasukan terutamanya pengarah dan penulis skrip, Syafiq Yusof.
"Saya rasa kalau nak bercakap mengenai kejayaan, sebagai pelakon saya tidak sesuai untuk ambil kredit itu. Syafiq lebih layak mendapat pujian dan semua pasukan yang terlibat.
"Apa pun alhamdulillah atas sambutan luar jangkaan, Datuk Yusof (Haslam) maklumkan Sheriff akan ada sekuel selepas ini, jadi tunggulah," katanya.
Zul berkata demikian ketika ditemui pada majlis doa selamat filem Sheriff di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Ditanya mengenai tawaran lakonan pada usia sekarang, Zul berkata, Sheriff membuka pintu rezeki buatnya apabila lebih banyak tawaran yang masuk selepas filem itu ditayangkan.
Bagaimanapun sedar ruang dan mengikut kesesuaian usia kini, anak kelahiran Taiping, Perak itu lebih selektif dalam menerima tawaran.
"Dulu ketika masih baharu, saya tak ada peluang untuk memilih. Bila sudah lama, sudah ada pengalaman, saya sudah tahu buat pilihan yang lebih tepat.
"Setakat ini, masih ada tawaran berlakon termasuk drama, tetapi kalau drama cinta ke, saya rasa cukuplah. Risau nanti orang naik menyampah.
"Lihatlah muka ini, tak mungkin muka macam ini masih kahwin paksa lagi (berseloroh). Lagipun penggambaran drama lebih padat jadual berbanding filem, jadi biarlah muka baharu yang diberi peluang untuk dikenali," jelasnya.
Zul berkata, sebagai pelakon berpengalaman, beliau tidak menyimpan rasa cemburu pada bintang baharu dan berpendapat beliau juga pernah melalui zaman sama suatu ketika dahulu.
Bahkan bintang utama Sangkar itu tidak lokek untuk berkongsi cerita dan pengalaman seandainya didekati pelakan baharu.
"Saya pernah jadi pelakon baharu dan bagaimana orang lama pernah bantu saya dahulu, begitu jugalah saya sekarang.
"Lagipun pelakon baharu perlu jual muka di kaca televisyen supaya orang kenal mereka lebih cepat. Kemudian barulah cuba nasib di layar yang lebih besar pula," tuturnya.
Arab Saudi
Sementara itu, ditanya mengenai perancangannya sebelum ini yang mahu menetap di Kota Makkah bagi menguruskan perniagaan, Zul berkata, perkara itu telah disalah anggap.
Jelasnya, memandangkan karier seni yang agak baik buat masa ini, jadi beliau berpendapat lebih elok seandainya hanya berulang-alik sekiranya perlu dan bukan menetap sepenuhnya di Makkah.
"Kelakar juga bila ada yang fikir saya buat perniagaan import eksport, walhal saya masih cari peluang perniagaan, tetapi tidak perlulah saya huraikan dengan lebih lanjut.
"Cuma di kala tawaran berlakon masih banyak, saya fikir lebih baik saya berulang sekiranya perlu. Tidak ada apa yang mahu dikejar
"Ada juga tawaran untuk membawa pelancong ke Arab Saudi, cuma buat masa ini saya tidak boleh cerita lanjut," katanya yang akan menunaikan umrah tidak lama lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!