Anggota polis cedera diserang ketika tahan suspek
KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Seorang anggota polis cedera selepas diserang lelaki menggunakan gunting pokok di Kampung Kijang, Badang di sini, awal pagi Sabtu.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, suspek berusia 30-an itu bertindak menyerang anggota polis yang mahu menangkapnya berkait kes perbuatan khianat.
Pemangku Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, semasa mahu melakukan tangkapan, suspek telah bertindak menyerang anggota bertugas menggunakan dua bilah gunting pokok yang besar.
"Dalam kejadian itu, suspek telah mencederakan kedua-dua belah lengan anggota terbabit," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, pihak polis kemudian mengarahkan suspek untuk memberikan kerjasama dan menyerahkan diri.
"Suspek bagaimanapun masih bertindak agresif dan terus menyerang pihak polis dengan bertubi-tubi," ujar beliau.
Mohd Ali memberitahu, bagi mempertahankan diri dan keselamatan awam, polis telah melepaskan satu das tembakan mengenai bahagian paha kiri suspek.
Tambah beliau, suspek berjaya ditangkap dan dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk mendapatkan rawatan.
"Suspek kini berada dalam keadaan stabil dan ditahan reman selama enam hari bermula Sabtu hingga 5 September.
"Kes disiasat bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan.
"Suspek turut disiasat bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!