Zoo Johor terima 20,000 pengunjung pada hari pertama dibuka semula
JOHOR BAHRU - Selepas ditutup selama tiga tahun akibat Covid-19 dan kerja naik taraf, Zoo Johor kembali bernafas dengan menerima kedatangan pengunjung.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Shukor berkata, pembukaan semula Zoo Johor pada Sabtu telah merekodkan kedatangan hampir 20,000 pengunjung.
"Pada hari pertama pembukaan semula Zoo Johor, pengunjung mula beratur untuk membeli tiket seawal jam 6.30 pagi.
"Selain itu, sejarah pengunjung tertinggi turut dicatatkan sejak Zoo Johor dibuka kepada orang awam pada tahun 1962 di mana kehadiran pengunjung seramai 19,461 orang dan 310 bukan warganegara pada Sabtu," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Menurut Mohd Jafni, bagi memudahkan pergerakan orang ramai ke Zoo Johor yang terletak di pusat bandar raya Johor Bahru, kerajaan negeri melalui Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) menyediakan enam buah bas.
"Potongan harga untuk tiket dewasa sebanyak 50 peratus dan tiket percuma bagi kanak-kanak, orang kurang upaya (OKU) dan warga emas yang diberikan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi pastinya memberi seribu makna dan kegembiraan buat Bangsa Johor.
"Kerajaan negeri sentiasa berusaha memastikan keselesaan dan keselamatan Bangsa Johor yang berkunjung ke zoo tertua di Malaysia ini," katanya.
Terletak di atas tanah seluas 4.73 hektar, Zoo Johor yang berusia 96 tahun mempunyai lebih 275 ekor haiwan antaranya harimau, ungka, gajah, tapir, burung dan buaya.
Zoo berkenaan dibuka pada 1928 dan ketika itu ia dinamakan sebagai Kebun Binatang.
Zoo Johor alu syarikat, NGO sertai program haiwan angkat - Exco
Dalam pada itu Bernama melaporkan, kerajaan negeri mengalu-alukan syarikat korporat, individu atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menyertai program haiwan angkat Zoo Johor khususnya dalam membiayai kos bekalan makanan 275 haiwan ditempatkan di situ.
Mohd Jafni berkata, kempen mengenai program itu sudah pun dimulakan beberapa bulan lepas sebagai antara usaha memastikan kebajikan dan pengurusan haiwan dapat dijalankan secara berterusan.
"Gerak kerja (haiwan angkat) telah dimulakan.
Ada beberapa agensi negeri dan Persekutuan termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri yang sangat berminat untuk jadi keluarga angkat kepada haiwan zoo ini dan ia sangat kita alu-alukan.
"Kempen ini penting kerana makanan untuk haiwan di zoo agak mahal.
Contohnya untuk gajah, setahun kita belanja dalam RM250,000 untuk makanan sahaja," katanya kepada pemberita selepas meninjau hari pertama pembukaan semula Zoo Johor di sini pada Sabtu.
Sementara itu, seorang pengunjung Elena Ho, 63, berkata, kali terakhir dia datang ke Zoo Johor ialah 40 tahun yang lepas dan hari ini dia gembira dapat membawa cucunya berkunjung ke taman haiwan itu.
"Zoo sudah semakin kemas dan cantik.
Beberapa tahun lepas, haiwan di zoo ini sangat sedikit tapi sekarang sudah berbeza.
Cucu saya pun gembira melihat haiwan yang sangat banyak," kata pesara bank itu sambil mencadangkan supaya ada penambahan kaunter bagi melancarkan operasi penjualan tiket.
Seorang pekerja kilang S Angelena, 29, dari Ulu Tiram pula berkata, ini kali pertama dia berkunjung ke Zoo Johor memandangkan anaknya yang berusia tiga tahun kerap meminta membawanya ke taman haiwan itu.
"Tahun lepas saya datang sebab anak nak pergi zoo, tetapi rupanya zoo ini ditutup.
Saya kerap lihat perkembangan di media sosial dan ada yang beritahu akan buka hari ini.
Cadangan saya untuk zoo ini supaya banyakkan aktiviti yang membolehkan pengunjung berinteraksi dengan haiwan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!