Cikgu sekolah memandu maut nahas di LPT

Keadaan motosikal jenis Yamaha RXZ ditunggang mangsa selepas terbabit kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 240.8 LPT1 arah barat di sini, pada malam Sabtu.
Keadaan motosikal jenis Yamaha RXZ ditunggang mangsa selepas terbabit kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 240.8 LPT1 arah barat di sini, pada malam Sabtu.
A
A
A

KUANTAN - Seorang pengajar sebuah akademi memandu maut selepas motosikal ditunggang terbabit kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 240.8 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) arah barat di sini, pada malam Sabtu.

Dalam kemalangan kira-kira jam 8.30 malam itu, mangsa, Nur Ashikin Ibrahim, 29 beralamat dari Jaya Gading di sini mengalami cedera parah dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, pemandu kereta, seorang lelaki warga emas berusia 73 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika kereta jenis Toyota Vios dipandu warga emas itu dipercayai dalam perjalanan dari arah Kemaman menghala ke Kuantan manakala mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha RXZ juga dari arah sama.

"Ketika tiba di lokasi kejadian, motosikal ditunggang mangsa yang berada di lorong kanan dipercayai hilang kawalan lalu terbabas sebelum dilanggar kereta dipandu lelaki warga emas yang datang dari arah belakang," katanya.

Wan Mohd Zahari berkata, mangsa yang cedera dihantar ke HTAA bagaimanapun disahkan meninggal dunia jam 10.31 malam ketika menerima rawatan di zon merah, wad kecemasan hospital itu.

"Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik HTAA untuk proses bedah siasat.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!