Nelayan guna cengkerang hasil Jalur Gemilang
PONTIAN - Seramai 35 nelayan dari Komuniti Perikanan Pulai Sebatang (MyKP) mempunyai cara tersendiri menyambut Hari Kebangsaan 2024 apabila menghasilkan Jalur Gemilang daripada cangkerang kerang.
Pengerusinya Ismail Hassan, berkata, Jalur Gemilang berkenaan dihasilkan menggunakan 2,458 cengkerang kerang berukuran 1.2 meter lebar dan 1.8 meter panjang.
"Ini kali pertama kami berjaya menghasilkan sesuatu yang berbeza dan istimewa untuk sambutan Hari Kemerdekaan.
"Tempoh dua minggu diperlukan untuk menyiapkan Jalur Gemilang dari cengkerang kerang bermula dari proses mengumpul, menjemur dan mewarna.
"Bagi tujuan tersebut sebanyak 940 biji kulit kerang diwarnakan merah dan putih, 482 diwarnakan biru dan 96 warna kuning dan 14 cengkerang siput yang membentuk bintang," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Jelas beliau, dengan kesepakatan dan kerjasama nelayan, kerja-kerja penghasilan Jalur Gemilang dari cengkerang kulit kerang dapat disiapkan dengan sempurna.
"Jalur Gemilang ini akan dipamerkan di pejabat MyKP untuk dilihat pengunjung yang datang mengikuti pakej menyusuri Sungai Pulai Sebatang melihat keindahan alam semulajadi.
"MyKP juga mengalakkan komuniti nelayan khususnya di kalangan isteri dan anak-anak mereka dapat mengambil peluang membuat pelbagai cendermata dari kulit kerang untuk dijadikan produk jualan kepada pelancong.
“Kulit-kulit kerang juga ini boleh dibuat bunga, kalung, pemegang anak kunci dan sebagainya yang mana boleh memberikan pendapatan tambah kepada komuniti nelayan di kampungnya,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!