Ridzokumura pupuk semangat cinta negara pada isteri, anak

Pempengaruh terkenal, RidzOkumura bergambar selepas ditemui Bernama pada majlis Sambutan Hari Kemerdekaan dan Sanjungan Budi Lambaian Kasih Lady Bikers baru-baru ini. Foto Bernama
Pempengaruh terkenal, RidzOkumura bergambar selepas ditemui Bernama pada majlis Sambutan Hari Kemerdekaan dan Sanjungan Budi Lambaian Kasih Lady Bikers baru-baru ini. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerancakan perbualan dalam loghat Perak pempengaruh terkenal, RidzOkumura dengan anak tunggalnya Sky Taizo Okumura yang berdarah kacukan Melayu-Jepun, sering menjadi tumpuan pengguna media sosial yang mengikuti akaun Instagram dan TikTok milik lelaki ini.

Rata-rata tidak sabar menunggu anak kelahiran Parit ini memuat naik video terbaharu, khususnya ketika di meja makan, kerana mereka ingin tahu menu yang disediakan oleh isterinya Akiko Okumura, dengan setiap hantaran sentiasa menerima puluhan ribu tanda suka dan ratusan komen.

Makanan yang disediakan oleh wanita asal Tokyo, Jepun itu persis hidangan mewah di hotel lima bintang dan Sky, 12, berusaha menerangkan menu ibunya dalam bahasa Melayu biarpun agak pelat.

Mengakui suri hatinya yang dikahwini pada 2009 serta anak mereka masih belum fasih berbahasa Melayu, Ridz atau nama sebenarnya Abd Ridzuan Abdul Mutalib tidak berputus asa dalam membantu kedua-duanya mengukuhkan penguasaan bahasa kebangsaan.

"Semasa kecil, Sky ada masalah lambat bercakap, jadi doktor menyuruh kami memilih satu bahasa untuk memudahkannya berkomunikasi.

Saya memilih bahasa Inggeris, namun tidak pinggirkan bahasa Melayu dan Jepun... hasilnya penguasaan Sky dalam dua bahasa itu semakin bagus,” katanya yang ditemui Bernama di majlis Sambutan Hari Kemerdekaan dan Sanjungan Budi Lambaian Kasih Lady Bikers, baru-baru ini.

Tambahnya lagi, selain sentiasa berbual dalam bahasa Melayu dengan Sky, beliau juga mengambil guru bahasa Melayu dan Jepun untuk membantu meningkatkan kefasihan anaknya dalam dua bahasa berkenaan.

Mempunyai hampir 500,000 pengikut di TikTok dan 327,000 di Instagram, anak saudara kepada pelakon, Zarina Zainudin ini berkata, sebagai ketua keluarga, beliau mahu anak dan isterinya itu didedahkan kepada budaya masyarakat Melayu dan Islam tanpa meminggirkan budaya asal isterinya.

"Syukur Sky cukup serasi dengan budaya kehidupan masyarakat Melayu dan dia turut diberi penekanan ajaran Islam sebaiknya.

Anak dan isteri juga, alhamdulillah suka pulang ke kampung saya di Parit, Perak berbanding Jepun kerana sukakan suasana kampung halaman.

Artikel Berkaitan:

"Dahulu masa arwah ibu masih ada, ibu ada juga bercerita mengenai peristiwa sebelum merdeka dan pendudukan Jepun di Tanah Melayu kepada isteri... dan kerana rasa serba salah, isteri sampai minta maaf walaupun itu bukanlah salah mereka," kata pengasas syarikat Ridz Okumura Salon itu.

Ketika ditanya aktiviti setiap kali tiba Hari Kebangsaan, lelaki yang terkenal dengan sifat rendah diri ini berkata mereka biasanya meraikan sambutan itu di rumah sambil menonton perarakan hari istimewa tersebut di kaca televisyen.

Biarpun begitu, anak kesembilan daripada 10 beradik ini tidak alpa mengajak keluarganya memasang dan mengibarkan Jalur Gemilang di kenderaan, kedai dan kediamannya sebagai simbol penzahiran semangat patriotik terhadap negara. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!