88 peratus wilayah Gaza kini dikuasai Israel

Orang awam sendiri tidak tahu di mana mereka akan berlindung apabila tentera rejim mengeluarkan arahan perpindahan. Foto Reuters
Orang awam sendiri tidak tahu di mana mereka akan berlindung apabila tentera rejim mengeluarkan arahan perpindahan. Foto Reuters
A
A
A

GAZA - Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) mendedahkan lebih 88 peratus wilayah Gaza kini ditawan Israel dengan 2.3 juta penduduk sukar mencari tempat perlindungan setelah tentera rejim mengarahkan pemindahan serta-merta.

Menurut agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu, ini menyaksikan hanya tinggal 12 peratus kawasan untuk mangsa perang mencari tempat selamat.

Pemangku Pengarah OCHA, Joyce Msuya berkata, orang awam sendiri tidak tahu di mana mereka akan berlindung apabila tentera rejim mengeluarkan arahan perpindahan.

Katanya, dalam satu taklimat kepada Majlis Keselamatan PBB (UNSC), arahan perpindahan yang dikeluarkan tanpa mengira masa telah melanggar keperluan undang-undang kemanusiaan antarabangsa sehingga mendorong semua berfikir bahawa tiada lagi rasa kemanusiaan di Gaza.

Kenyataan Msuya itu dibuat selepas PBB terpaksa menghentikan pergerakan bantuan kakitangannya di Gaza Isnin lalu berikutan arahan pemindahan baharu Israel di kawasan Deir Al-Balah, yang menjadi pusat operasi OCHA.

Beliau juga mempersoalkan di manakah nilai kemanusiaan Israel selepas pasukan bantuan antarabangsa itu sukar menjalankan operasi bantuan di Gaza ekoran serangan berterusan daripada tentera negara tersebut.

Msuya berkata, keadaan yang tidak menentu di Gaza menyebabkan pasukannya gagal merancang jadual perjalanan dalam tempoh 24 jam kerana tidak pasti dengan jenis bantuan yang dimiliki, bila mereka akan memperolehnya atau di mana mereka perlu menghantarnya.

Beliau berkata, situasi di Gaza begitu menghibakan di mana orang awam kelaparan, dahaga dan sakit.

Artikel Berkaitan:

Bukan sahaja itu, mereka juga tiada tempat tinggal sehingga apa yang ditanggung itu sangat menyedihkan.

Perang dilancarkan Israel terhadap kumpulan pejuang Hamas sejak Oktober tahun lalu mengakibatkan lebih 40,000 kematian penduduk Palestin, namun sehingga kini rundingan gencatan senjata masih menemui jalan buntu. - Awani

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!