PRK DUN Mahkota: Kuota Wanita ditentukan Presiden UMNO

MOHAMED KHALED
MOHAMED KHALED
A
A
A

KOTA TINGGI - Kuota Wanita UMNO bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, kekal atau sebaliknya hanya akan diputuskan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, walaupun kerusi itu milik Wanita UMNO sebelum ini, namun ia masih tertakluk kepada keputusan pucuk pimpinan tertinggi parti.

"Itu (kuota Wanita DUN Mahkota) perlu tanya Presiden," katanya demikian pada sidang akhbar selepas perasmian perasmian My Villa di Dewan Felda Air Tawar 3 di sini, pada Ahad.

Beliau yang juga koordinator BN untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota, pada 30 Ogos lalu, memaklumkan pemilihan calon BN bagi PRK DUN Mahkota kini di peringkat akhir.

Jelasnya, banyak nama calon telah dipertimbangkan dan calon yang dipilih akan diumumkan selepas negara menyambut Hari Kemerdekaan.

Dalam pada itu, beliau yang merupakan Menteri Pertahanan memberitahu koordinasi antara parti Kerajaan Perpaduan bagi berdepan PRK DUN Mahkota pada 28 September ini, dalam keadaan baik.

"Kita koordinasi dengan baik, kita telah dapat jaminan kerjasama daripada semua parti-parti dalam kerajaan perpaduan.

"Kita bersyukur bukan sahaja sokongan kuat daripada masyarakat Melayu dan ahli UMNO, tetapi kita juga mendapat sokongan kuat dan jaminan komitmen dari semua parti parti dalam Kerajaan Perpaduan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada 26 Ogos lalu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan berlaku pergelutan antara sayap wanita dan pemuda parti itu berhubung calon yang akan bertanding pada PRK DUN Mahkota.

Sebelum ini, Wanita UMNO dilaporkan menuntut supaya calon mewakili BN pada PRK DUN Mahkota kekal dipilih daripada pergerakan itu.

Ketuanya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, dilaporkan berkata, kerusi itu penting bagi Wanita meneruskan legasi penyandang sebelum ini, Allahyarham Datuk Sharifah Azizah Syed Zain yang juga EXCO Wanita yang menang dengan majoriti lebih 5,000 undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022.

Pada hari sama, Pemuda UMNO dilapor menyarankan supaya sekali lagi diberi kepercayaan untuk bertanding di kerusi DUN Mahkota susulan kejayaan besar pada PRK DUN Nenggiri di Kelantan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sebelum ini menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Mahkota pada 28 September ini, manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 14 September dan 24 September.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!