Jalan Masjid India kembali 'hidup' selepas operasi SAR tamat

Situasi terkini lokasi berhampiran insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India yang dibuka kembali kepada pengunjung ketika tinjauan fotoBernama hari ini.
Situasi terkini lokasi berhampiran insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India yang dibuka kembali kepada pengunjung ketika tinjauan fotoBernama hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jalan Masjid India di sini kembali meriah dengan pengunjung mula memenuhi premis perniagaan yang beroperasi sepenuhnya hari ini selepas insiden tanah jerlus 23 Ogos lepas.

Tinjauan Bernama mendapati deretan kedai berhadapan dengan lokasi kejadian mula dibuka selepas sebahagiannya ditutup sepanjang operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita warga India yang terjatuh ke lubang sedalam lapan meter susulan insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa dilaporkan berkata, operasi SAR bagi mengesan G Vijaya Lakshmi, 48, dihentikan selepas mengambil kira isu keselamatan serta risiko kepada anggota pasukan SAR dan keselamatan kawasan di sekitar lokasi insiden.

Situasi terkini lokasi berhampiran insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India yang dibuka kembali kepada pengunjung ketika tinjauan fotoBernama hari ini.
Situasi terkini lokasi berhampiran insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India yang dibuka kembali kepada pengunjung ketika tinjauan fotoBernama hari ini.

Pekerja di sebuah kedai barangan perhiasan dikenali sebagai Ibrahim berkata sepanjang tempoh sembilan hari SAR, premis itu sangat kurang dikunjungi.

"Pada hari pertama kejadian, kedai tutup. Selepas beberapa hari, kedai dibuka semula tapi pengunjung sangat kurang berbanding sebelum kejadian.

"Boleh dikatakan 80 peratus pengunjung ‘hilang’. Lepas SAR ini, harap orang ramai boleh datang semula,” katanya kepada Bernama.

Seorang pengunjung, Mohd Azmi Halim, 43, berharap usaha membaik pulih Jalan Masjid India dapat dilakukan segera kerana laluan berkenaan adalah kawasan tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai selalu datang sini. Barangan berpatutan. Bila jadi insiden ini, orang takut nak datang. Bila ada usaha jalan dibaik pulih, orang ramai boleh datang untuk beli barang,” katanya.

Keadaan terkini lokasi berhampiran insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India yang dibuka kembali kepada pengunjung ketika tinjauan fotoBernama hari ini.
Keadaan terkini lokasi berhampiran insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India yang dibuka kembali kepada pengunjung ketika tinjauan fotoBernama hari ini.

Pengawal keselamatan di Wisma Yakin Juinon Masdin, 48 juga berharap pihak bertanggungjawab sentiasa memantau keadaan di jalan berkenaan susulan insiden itu terutama ketika hujan lebat.

"Bagi kami pihak keselamatan di sini akan melakukan pemantauan setiap masa untuk menjaga keselamatan peniaga dan pengunjung wisma ini," katanya.

Seorang pengunjung dari Sabah, Elmia Kiramon, 55, berkata, walaupun sedikit risau dengan insiden berkenaan namun dia yakin dengan tahap keselamatan di kawasan berkenaan.

"Saya lihat polis sudah tutup dan kawal kawasan itu (lokasi kejadian). Kita sebagai pengunjung jangan ke sana (kawasan tanah jerlus),” katanya yang melancong di sini sejak dua minggu lepas dan telah dua kali berkunjung di Jalan Masjid India untuk membeli-belah.

Pekerja kedai pakaian, Nora Amrizal, 36, juga berharap pihak berkuasa sentiasa melakukan pemeriksaan di kawasan sekitarnya untuk memastikan keselamatan peniaga dan pengunjung.

Menurutnya, peniaga akan mengalami kerugian sekiranya orang ramai masih menganggap lokasi berkenaan tidak selamat untuk dikunjungi susulan kejadian tanah jerlus itu. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!