Koronavirus: MCCC batalkan sambutan Tahun Baru Lunar
KUALA LUMPUR - Dewan Perniagaan Malaysia-China (MCCC) membatalkan sambutan Tahun Baru Lunar esok berikutan penularan wabak koronavirus yang diisytiharkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai darurat kesihatan global.
Presiden MCCC, Datuk Tan Yew Sing dalam satu kenyataan hari ini berkata, sejak beberapa tahun lepas, MCCC menganjurkan sambutan Tahun Baharu Lunar untuk menjemput ahli-ahli dan usahawan dari dalam dan luar negara untuk memeriahkan sambutan perayaan itu.
Bagaimanapun, ia membuat keputusan untuk membatalkan sambutan itu yang dijadual esok di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor akibat wabak koronavirus.
“China ketika ini mengharungi keadaan yang sukar dan sebagai tanda keprihatinan dan sokongan kami, MCCC membeli 10,000 sarung tangan perubatan untuk dihantar ke kawasan yang dilanda wabak itu,” katanya.
Yew Sing bagaimanapun berkata, beliau yakin penyebaran wabak itu terkawal berikutan WHO memberi sepenuh perhatian terhadap perkara itu selain langkah-langkah keselamatan ketat yang dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia dan China. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!