MCA akan balas jasa UMNO di Mahkota

Ka Siong (tengah) bergambar bersama Pemuda dan Wanita MCA selepas merasmikan mesyuarat agung sayap berkenaan di Dewan Jubli Intan Pontian pada Ahad.
Ka Siong (tengah) bergambar bersama Pemuda dan Wanita MCA selepas merasmikan mesyuarat agung sayap berkenaan di Dewan Jubli Intan Pontian pada Ahad.
A
A
A

PONTIAN - MCA akan menjadikan kemenangan calon parti itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai pada tahun 2019 sebagai pembakar semangat untuk berdepan PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

Presidennya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, sebagai parti komponen Barisan Nasional (BN), MCA akan membalas jasa dan pengorbanan jentera UMNO yang berusaha keras memenangkan calon MCA, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng ketika itu.

"Jentera UMNO menangkan calon MCA yang mewakili BN ketika itu. BN Johor ada kelainan dan keunikan. Semangat Tanjung Piai akan diterjemahkan dalam konteks gerak kerja PRK.

"Maka, apabila UMNO bertanding kini (PRK DUN Mahkota), kita akan memastikan melakukan perkara yang sama. Inilah semangat BN sejak ia ditubuhkan," ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Sayap Pemuda dan Wanita MCA, di Dewan Jubli Intan di sini, pada Ahad.

Hadir sama, Ketua Pemuda MCA, Ling Tian Soon dan Ketua Wanita MCA, Datuk Wong You Fong.

Dalam pada itu, Ka Siong memaklumkan Setiausaha MCA Johor, Lee Ting Han, yang juga Exco Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri dilantik sebagai Pengarah Kerja MCA bagi PRK DUN Mahkota.

Katanya, jentera parti membabitkan 26 bahagian di Johor akan diselaraskan bagi memastikan kemenangan BN.

Artikel Berkaitan:

"MCA akan bantu BN menyelaraskan kerja malah pengagihan tugas sudah diberikan. Pemimpin pusat juga telah diarahkan turun padang sepanjang tempoh berkempen.

"Kita akan sentiasa mengikut arahan Pengarah PRK DUN Mahkota, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang juga Menteri Besar bagi membina koordinasi lebih baik.

"MCA ada strategi kita, namun tak boleh didedahkan, apa yang penting kita akan buat yang terbaik untuk memenangkan calon BN," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Mahkota pada 28 September manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 14 dan 24 September.

Pilihan raya itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, yang meninggal dunia pada 2 Ogos ketika dirawat di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang.

Mengikut Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang dikemas kini hingga 2 Ogos lalu, DUN Mahkota mempunyai 66,318 pemilih terdiri daripada 61,397 pengundi biasa; 4,410 anggota tentera dan pasangan, 401 anggota polis serta 10 orang pengundi tidak hadir (PTH) luar negara.

Timbalan Pengerusi UMNO Johor Datuk Seri Ahmad Maslan sebelum ini dilaporkan berkata, di DUN Mahkota pecahan antara kaum itu berbeza di mana pengundi Melayu lebih kurang 54 peratus, Cina 35 peratus dan India lebih kurang lapan peratus.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!