Port lumba haram malam minggu di Lebuhraya Guthrie digempur
SHAH ALAM - Sanggup gadai nyawa serta merisikokan pengguna jalan raya lain semata-mata untuk pamer kehebatan motosikal ditunggang antara aksi dilakukan sekumpulan penunggang sebelum lokasi yang menjadi tumpuan setiap malam minggu di Lebuhraya Guthrie di sini digempur pada Ahad.
Operasi dijalankan Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor bersama Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman dijalankan bermula jam 12.30 tengah malam hingga 4 pagi.
Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, risikan dijalankan mendapati terdapat kumpulan penunggang motosikal yang menunggang secara berbahaya.
"Kumpulan ini turut dikesan melakukan aktiviti samseng jalanan seperti bersaing sesama sendiri, melawan arus, melakukan aksi zig zag dan superman.
"Seramai 12 individu ditahan selepas risikan mendapati mereka terlibat menunggang secara berbahaya di lokasi berkenaan," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.
Katanya, sebanyak 153 saman turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas yang dikesan.
"Tiada nombor pendaftaran menjadi kesalahan tertinggi dikesan melibatkan 44 saman dikeluarkan diikuti ubah suai ekzos (35), tiada lesen (29), tiada cermin pandang belakang (19) dan pelbagai kesalahan lain.
"Selain itu, sebanyak 35 motosikal disita di bawah Seksyen 42(1) dan Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Tambah beliau, kesemua individu yang ditahan bersama motosikal disita dibawa ke Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh untuk tindakan selanjutnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!