SKMM adakan libat urus dengan penyedia platform media sosial bulan ini

Teo Nie Ching
Teo Nie Ching
A
A
A
KULAI - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan mengadakan sesi libat urus bersama penyedia platform media sosial bagi membincangkan prosedur operasi standard (SOP) melibatkan kandungan peribadi pengguna bulan ini.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, perjumpaan itu juga bertujuan menjalin kerjasama bagi memastikan data peribadi pengguna tidak disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

"Kita akan buat sesi libat urus dengan penyedia platform media sosial supaya kita boleh wujudkan SOP lebih ketat dan efektif. Langkah ini penting bagi membolehkan SKMM atau Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan.

"Teknologi seperti deepfake sudah lama ada tetapi dengan perkembangan teknologi dan kecerdasan buatan (AI), ia turut digunakan scammer untuk penyebaran gambar lucah dan bahan melibatkan kanak-kanak. Itu sebabnya kita perlu dapatkan kerjasama dengan penyedia platform seperti Meta, Telegram dan TikTok,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri program Jom Tonton Wayang Takluk: Lahad Datu bersama warga Kulai di pusat beli-belah di sini hari ini.

Ahli Parlimen Kulai itu berkata, menerusi sesi libat urus tersebut diharapkan penyedia platform media sosial dapat melakukan pengawalseliaan kendiri terhadap kandungan berunsur jenayah dalam platform masing-masing.

"Teknologi akan semakin ke depan dan tidak munasabah jika kita tidak menggunakannya. Tetapi kita perlu lebih berhati-hati apabila hendak kongsikan sebarang maklumat di media sosial bukan sahaja maklumat peribadi tetapi juga berkaitan kanak-kanak.

"Apa yang perlu kita faham adalah apabila kita pilih untuk kongsikan sesuatu maklumat di media sosial, adalah susah untuk dipadam semula sekiranya terdapat pihak yang memuat turun data tersebut," katanya.

Sementara itu, Nie Ching berkata, rakyat Malaysia diharap dapat memberi sokongan kepada filem-filem tempatan yang sedang ditayangkan di pawagam ketika ini dan bukan hanya menyokong filem antarabangsa.
Artikel Berkaitan:


"Setakat ini, kutipan box office bagi 27 filem tempatan termasuk Takluk: Lahad Datu telah mencecah RM97.5 juta, hampir menyamai kutipan keseluruhan box office bagi 56 filem tempatan tahun lepas yang berjumlah RM98.8 juta.

"Ini membuktikan filem tempatan juga berkualiti. Saya harap penonton terus menyokong industri filem tempatan. Kutipan box office tertinggi tahun ini masih ‘Sheriff: Narko Integriti’ manakala kutipan box office tertinggi tahun lepas milik ‘Polis Evo 3’,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!