PRK Mahkota: DAP mula gerak kerja awal bantu calon BN

Teo Nie Ching
Teo Nie Ching
A
A
A
KULAI - DAP sudah memulakan gerak kerja bagi membantu kempen calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada 28 September ini.

Ketua Wanita DAP, Teo Nie Ching berkata, gerak kerja awal itu telah dimulakan Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi dengan dibantu ahli DAP kawasan berkenaan dan jentera dari seluruh negara.

"DAP akan sepenuhnya membantu kempen calon daripada UMNO memenangi kerusi itu. Kita akan lakukan yang terbaik kerana kita adalah rakan dalam Kerajaan Perpaduan. Itu juga merupakan arahan daripada Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke sendiri.

"Ahli kita ada ratusan ribu di seluruh negara. Kita galakkan mereka yang lapang dan berkemampuan untuk turun membantu kempen ini,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri program Jom Tonton Wayang ‘Takluk: Lahad Datu’ bersama warga Kulai di sebuah pusat beli-belah di sini hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Mahkota pada 28 September manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 14 dan 24 September.
Artikel Berkaitan:


Pilihan raya itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lalu ketika mewnerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!