UAE peruntuk AS$7 juta tangani kebuluran di Sudan, Sudan Selatan
Menurut Agensi Berita Emirates, daripada jumlah itu, AS$6 juta diperuntukkan untuk Sudan dan AS$1 juta untuk Sudan Selatan.
Kira-kira 17.7 juta orang di Sudan dan 7.1 juta orang di Sudan Selatan menghadapi masalah kekurangan makanan.
Terdahulu, Kementerian Luar UAE berkata negara itu telah menyalurkan 70 peratus daripada komitmen AS$100 juta yang dijanjikan semasa persidangan antarabangsa pada April lepas untuk membantu Sudan dan negara jiran.
Selain daripada Program Makanan Sedunia (WFP), dana itu juga disalurkan kepada Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA), Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO).
Sejak 15 April 2023, Sudan berdepan krisis akibat pertempuran antara angkatan tentera negara itu dan Rapid Response Force (RRF) yang diketuai Mohamed Hamdan Daglo.
Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) menyatakan bahawa pertempuran berterusan di negara itu boleh mengakibatkan wabak penyakit dan sistem penjagaan kesihatan lumpuh yang boleh membawa maut.
Menurut PBB, lebih 8.2 juta orang di Sudan telah meninggalkan kediaman mereka akibat pertempuran itu dengan kira-kira 1.7 juta orang telah melarikan diri ke negara jiran.
Menteri Kesihatan Sudan Haysam Mohammed Ibrahim memberitahu Sputnik bahawa lebih 13,000 orang telah terbunuh dan lebih 30,000 lagi cedera dalam tempoh setahun konflik bersenjata di negara itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!