'Apa dosa saya suarakan kegusaran pengguna MAS' - Ka Siong

Wee Ka Siong
Wee Ka Siong
A
A
A

PONTIAN - Bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menegaskan beliau tidak berniat menuding jari kepada kerajaan mahu pun mempersoalkan kredibiliti Malaysia Airlines (MAS) dan Kumpulan Penerbangan Malaysia (MAG).

Presiden MCA itu sebaliknya menegaskan, beliau hanya menyuarakan rintihan dan kegusaran pengguna MAS dan rakyat susulan beberapa insiden teknikal membabitkan syarikat penerbangan berkenaan.

"Saya bangkitkan isu itu (isu teknikal pesawat MAS) dengan sebaiknya dan hanya meminta kerajaan dan Kementerian Pengangkutan menyiasat perkara itu dan membantu MAS supaya kejadian yang sama tidak berulang lagi.

"Apa dosa saya bila saya sebut macam itu. Kita hanya merayu dan menyeru tetapi akhirnya saya pula dikatakan mencetuskan panik padahal penjelasan yang diberi Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook minggu lalu yang membuatkan rakyat Malaysia menjadi panik dan tergamam.

"Saya bersuara sebab pengguna MAS dan orang awam membuat aduan kepada saya minta suarakan kebimbangan mereka. Terimalah pandangan dan dengarlah komen-komen rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Agung Sayap Pemuda dan Wanita MCA di sini pada Ahad.

Sebelum itu, 26 Ogos lalu, Anthony Loke dilaporkan menggesa Ka Siong supaya tidak membuat orang ramai panik susulan kritikannya terhadap isu teknikal pesawat MAS.

Anthony dilaporkan berkata, dakwaan Ka Siong isu gangguan penerbangan yang dialami MAS menyebabkan berlakunya krisis keyakinan sebagai kenyataan yang tidak seharusnya dibangkitkan.

Artikel Berkaitan:

Menteri Pengangkutan itu berkata, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) juga sudah melaksanakan audit khas terhadap beberapa insiden membabitkan pesawat MAS dengan penemuan daripada audit terbabit dibentangkan pada mesyuarat Kabinet, Rabu lalu.

MAG menerusi kenyataan minggu lalu dilaporkan memaklumkan syarikat berkenaan akan mengurangkan rangkaian penerbangannya untuk sementara waktu sehingga Disember ini.

Langkah itu juga sebagai susulan kepada gangguan penerbangan pada minggu 19 Ogos lalu yang membabitkan perkhidmatan Malaysia Airlines, Firefly dan Amal.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!