Jokowi tangguh lagi rancangan pindah ke Nusantara
JAKARTA - Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi sekali lagi menangguhkan rancangan pemindahan ke Ibu Kota Nusantara (IKN) di Kalimantan Timur.
Pada kali ini, pemimpin tersebut memberi alasan mahu menunggu sehingga lapangan terbang atau bandar udara (bandara) beroperasi terlebih dahulu.
“Kita perlu lihat perkembangan projek IKN kerana masih banyak yang belum selesai. Apabila sudah berpindah di sana, bandara adalah amat penting bagi memudahkan pergerakan ke provinsi lain.
“Sebagai contoh, jika saya mahu berkunjung ke Papua atau Nusa Tenggara Timur atau Aceh, saya perlu menaiki pesawat di Nusantara,” katanya pada minggu lalu.
Difahamkan, ia bukanlah pertama kali Jokowi menunda perkara itu setelah pemimpin yang bakal tamat perkhidmatan pada Oktober depan itu pada mulanya dijadualkan bertugas secara rasmi di IKN pada Julai lalu.
Tetapi, rancangan itu terpaksa ditangguhkan berikutan infrastruktur utama untuk bekalan air dan elektrik gagal disiapkan pada jangka masa ditetapkan.
Jokowi dilaporkan sudah bermalam di Istana Presiden di ibu kota baharu itu ketika pentadbiran beliau membuat persiapan untuk sambutan Hari Kebangsaan yang turut dihadiri kira-kira 1,300 tetamu rasmi termasuk anggota Kabinet.
Beliau diiringi penggantinya, Prabowo Subianto yang berikrar untuk meneruskan tradisi sambutan tersebut di IKN pada masa akan datang.
Menerusi kenyataan berasingan, Setiausaha Presiden, Heru Budi Hartono memaklumkan Jokowi merancang untuk menetap beberapa malam lagi di Nusantara.
“Beliau akan bermalam di sana ketika melakukan lawatan kerja. Tetapi, ia tidak bermakna beliau akan bertugas secara tetap di IKN,” ujarnya.
Sehingga kini, Jokowi masih belum mengeluarkan dekri Presiden (Keppres) yang menetapkan pemindahan rasmi ibu kota Indonesia meskipun undang-undang yang mewajibkan langkah berpindah dari Jakarta ke Nusantara telah digubal sejak 2021. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!