'Jangan terlampau kenegerian, kekampungan' - Hajiji

Hajiji memukul gong merasmikan Mesyuarat Tahunan Gagasan Rakyat Bahagian Usukan Tahun 2024 di Dewan Datuk Japlin Akim, Kampung Jawi-Jawi, Kota Belud.
Hajiji memukul gong merasmikan Mesyuarat Tahunan Gagasan Rakyat Bahagian Usukan Tahun 2024 di Dewan Datuk Japlin Akim, Kampung Jawi-Jawi, Kota Belud.
A
A
A

KOTA BELUD - Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor kekal dengan pendirian bahawa kerajaan Sabah perlu mempunyai hubungan baik dengan kerajaan Persekutuan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) turut berkata, kerajaan negeri juga perlu bekerjasama rapat dengan Persekutuan tanpa berlakunya bermusuhan.

"Dalam politik, kerajaan negeri mesti 'ngam' dan bekerjasama rapat dengan kerajaan Persekutuan. Ini penting kerana sejarah lalu kita mesti tahu, apabila kerajaan negeri tidak bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan, apa jadi?

"Saya tidak mahu cakap di sini, nanti ada yang terasa. Jadi, ia perlu (hubungan baik) kerana kita dalam satu negara Malaysia.

"Jangan kita terlampau perkauman, terlampau kenegerian dan kekampungan. Orang cerita dunia tanpa sempadan, (tapi) kita kampung, cerita negeri kita, tidak cerita pasal negara. Jadi, kita kena pandai berpolitik, kita tidak boleh bermusuh dengan kerajaan Persekutuan," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Mesyuarat Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Usukan Tahun 2024 di Dewan Datuk Japlin Akim, Kampung Jawi-Jawi di sini pada Ahad.

Hajiji berkata, amalan itulah yang menjadi pegangan kerajaan pimpinannya sehingga berjaya mencapai banyak kejayaan walaupun baru lebih setahun Kerajaan Perpaduan ditubuhkan.

"Dalam tempoh saya (memerintah) ini dan Perdana Menteri banyak perkara berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) ditunaikan, baru setahun lebih.

Artikel Berkaitan:

"Sekarang hanya tinggal beberapa isu saja lagi. Kita tidak pernah undur meminta kerajaan Persekutuan melaksanakan dan menunaikan apa yang termaktub dalam MA63,” katanya.

Sementara itu, Hajiji yang juga Presiden Gagasan Rakyat yakin kerajaan GRS-Pakatan Harapan (PH) Plus yang membentuk kerajaan negeri ketika ini mampu kembali memerintah selepas Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).

Beliau berkata, keyakinan itu berdasarkan perkembangan semasa politik dan penerimaan rakyat terhadap kerajaan sedia ada.

Katanya, gabungan itu mempunyai kekuatan untuk meneruskan khidmat kepada rakyat dan membangunkan negeri ini ke tahap yang lebih baik.

"Saya tahu kekuatan parti kita, Insya-ALLAH kita akan bersama dengan PH Plus, kita tetap akan menjadi kerajaan selepas PRN nanti.

"Insya-ALLAH, rakyat mahukan perubahan dan mahukan GRS-PH Plus ini terus memerintah negeri,” katanya

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!