'Agong sokong pembangunan Kampong Bharu, henti guna sentimen Melayu'- Khalid

Khalid Abdul Samad - Foto Bernama
Khalid Abdul Samad - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad menyifatkan titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung hasrat kerajaan membangunkan Kampong Bharu sebagai isyarat bahawa rancangan itu berada pada landasan yang benar.

Justeru beliau berkata, mana-mana pihak yang masih menganggap rancangan itu merugikan orang Melayu perlu menghentikan sentimen berkenaan.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada baginda yang telah menyatakan sokongan yang penuh kepada usaha untuk membangunkan Kampong Bharu.

"Sekarang ini, Agong pun dah sokong, Sultan Selangor (Sultan Sharafuddin Idris Shah) pun dah nyatakan sokongan, lalu yang mana yang nak gunakan semangat Melayu, Melayu, Melayu ni saya harap tuan-tuan semua semak faktalah.

"Ini bukan merugikan Melayu tetapi ianya menguntungkan," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Konvoi Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (MPPWP) di Dataran Merdeka di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Khalid berkata, persetujuan daripada pemilik-pemilik tanah Kampong Bharu juga menunjukkan perkembangan yang positif dan beliau yakin mampu mendapatkan sokongan yang sewajarnya.

Katanya, sesi pertemuan secara berkelompok bersama Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) juga membantu pemilik memahami rancangan tersebut dengan lebih jelas.

"Setakat ini telah ada tiga ke empat program di mana pemilik diketemukan dengan pihak PKB dalam kumpulan yang kecil...akhirnya kita dapati mereka memahami apa yang sebenarnya kita ingin lakukan. Hasil daripada itu mereka telah berikan persetujuan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Seri Paduka dalam titahnya pada istiadat pengurniaan darjah kebesaran, bintang dan pingat sempena Hari Wilayah Persekutuan 2020 mahu Kampong Bharu yang juga ikon di Kuala Lumpur, dibangunkan serta dimajukan seiring dengan pembangunan pesat Kuala Lumpur, dengan mengambil kira keutamaan hak dan kepentingan orang Melayu.

Seri Paduka memaklumkan kerajaan sedang berusaha untuk membangunkan semula Kampong Bharu menerusi pelan pembangunan yang telah dirangka dengan teliti.

"Menerusi pembangunan semula ini, hak milik tanah akan kekal kepada orang Melayu. Selain itu warisan seni bina dan budaya Melayu akan terus kekal dan diperkasakan," titah Seri Paduka.

ARTIKEL BERKAITAN Pembangunan Kampong Bharu ambil kira hak, kepentingan Melayu: Agong

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!