Aksi 'fly Superman' bawa RXZ ketika perarakan Hari Kebangsaan jadi bualan
LIPIS - Perarakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-67 peringkat daerah yang tampil dengan aksi terbang ala 'Superman' bukan sahaja mencuri tumpuan pengunjung bahkan turut menjadi bualan warga maya di media sosial sejak Sabtu.
Malah kelibat seorang penunggang motosikal jenis Yamaha RXZ berdepan sekatan jalan raya itu juga turut disifatkan antara idea kreatif dan unik ditampilkan pada tahun ini.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Ismail Man berkata, tema sekatan jalan raya dengan menggunakan RXZ itu adalah idea Bahagian Logistik dan Teknologi (Cawangan Pengangkutan) IPD Lipis.
Menurutnya, pemilihan model motosikal terbabit digunakan memandangkan ia salah satu jenama terkenal dan popular dalam kalangan rakyat Malaysia.
"Pemilihan RXZ tiada kaitan atau sindiran kepada mana-mana pihak melainkan ia amat dikenali oleh rakyat di negara ini.
"Ia juga sebagai salah satu usaha kempen kesedaran kepada masyarakat mengenai kesalahan yang sering dilakukan ketika sekatan jalan raya selain mendekati orang ramai," katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu, lelaki yang menggayakan aksi ala Superman tersebut merupakan anggota polis yang bertugas di IPD Lipis.
Anggota terbabit, Konstabel Mohd Naim Muhammad Zaki, 26, memberitahu, motosikal terbabit adalah miliknya sendiri.
"Sebenarnya ada beberapa jenis motosikal lain ingin digunakan antaranya motosikal polis trafik tapi tidak muat sebelum timbul idea tema sekatan jalan raya dan akhirnya RXZ menjadi pilihan.
"Saya sendiri pada mulanya macam tak percaya nak lakukan aksi tersebut tapi bila fikirkan setahun sekali ambil bahagian dan tidak sangka ia menjadi tular di media sosial," jelasnya yang sudah hampir tiga tahun bertugas di IPD Lipis
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!