'Kumpulan samseng serang Syed Saddiq bukan ahli Armada'

Ulya Aqamah Husamudin
Ulya Aqamah Husamudin
A
A
A

SHAH ALAM - Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menafikan dakwaan bahawa kumpulan samseng yang membuat kekecohan pada majlis pertemuan sayap parti itu di sebuah resort di Ulu Tiram, Johor malam tadi adalah daripada kalangan sayap Pemuda itu sendiri.

Ketua Penerangan Armada, Ulya Aqamah Husamudin berkata, pihaknya tidak mengenali individu dalam kumpulan berkenaan yang bertindak melampau dengan melaungkan kata-kata kesat.

Menurutnya, satu laporan polis dibuat berhubung kejadian yang turut membabitkan Ketua Armada, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ketika hadir pada perjumpaan itu.

“Kita sudah buat laporan polis, jadi sekarang tunggu siasatan daripada pihak polis.

“Kalau diikutkan memang melampau kerana datang ke program kita, buat kacau. Ada kata dari pembangkang dan ada kata bukan.

“Tapi yang pasti bukan Armada. Tak ada siapa pun yang kenal mereka dan tidak pasti sama ada mereka orang tempatan atau luar,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Malam tadi, Syed Saddiq yang juga Menteri Belia dan Sukan mendakwa beliau bersama beberapa pimpinan Bersatu Johor diserang sekumpulan individu ketika menghadiri perjumpaan tersebut.

“Mereka semua berdiri mengepung tempat makan kami, sergah dan langgar semua tetamu yang hadir. Mereka laung dan pekik macam-macam kata-kata kesat, ibu bapa saya juga jadi saksi malam ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Kekecohan tersebut memaksa Syed Saddiq dan beberapa pemimpin Bersatu lain keluar daripada lokasi berkenaan menggunakan ‘jalan tikus’ dengan melompat pagar.

Dalam kenyataan berasingan hari ini, Ahli Parlimen Muar itu percaya kejadian tersebut turut melibatkan campur tangan pihak pembangkang.

ARTIKEL BERKAITAN Pemuda UMNO akan saman Syed Saddiq: Asyraf Wajdi

Dikepung 'gengster', Syed Saddiq terpaksa lari panjat pagar

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!