Perdana Menteri New Zealand tiba di Malaysia

Christopher Luxon diberi sambutan kawalan kehormatan setempat oleh Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja sebaik tiba di Kompleks Bunga Raya bagi mengadakan lawatan rasmi selama tiga hari di Malaysia. - Foto: Bernama
Christopher Luxon diberi sambutan kawalan kehormatan setempat oleh Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja sebaik tiba di Kompleks Bunga Raya bagi mengadakan lawatan rasmi selama tiga hari di Malaysia. - Foto: Bernama
A
A
A

SEPANG - Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon tiba di Malaysia hari ini bagi lawatan rasmi tiga hari hingga Selasa.

Ini merupakan lawatan pertama Luxon ke Malaysia sejak memegang jawatan Perdana Menteri pada November 2023.

Pesawat komersial yang membawa Luxon, mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA Terminal 1) di sini dan disambut Timbalan Menteri Digital Datuk Wilson Ugak Kumbong di Kompleks Bunga Raya di sini pada 7.55 malam.

Sejurus tiba, beliau diberi sambutan kawalan kehormatan setempat oleh Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja.

Wisma Putra dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan Luxon akan diberikan majlis sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya, diikuti pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim esok.

Kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan isu berkaitan hubungan dan kerjasama dua hala di bawah Perkongsian Strategik Malaysia-New Zealand yang dimeterai pada 2023, merangkumi empat tonggak: Kemakmuran, Rakyat, Planet, serta Keamanan dan Keselamatan.

Wisma Putra memaklumkan Perdana Menteri juga akan meraikan Luxon dan delegasi dalam satu majlis makan tengah hari di Kompleks Seri Perdana.

Luxon juga akan mengadakan pertemuan bersama Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Artikel Berkaitan:

Pada 2023, New Zealand merupakan rakan dagangan ke-28 terbesar Malaysia, destinasi eksport ke-22 dan sumber import ke-27 terbesar dalam kalangan negara di rantau Oceania.

Jumlah perdagangan antara Malaysia dan New Zealand adalah sebanyak RM11.56 bilion (ASD2.54 bilion). - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!