12 terbunuh hujan lebat landa selatan India
NEW DELHI - Sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh selepas hujan lebat melanda Andhra Pradesh dan Telangana di selatan India, kata pegawai pada Ahad, lapor Xinhua.
Sembilan orang terbunuh di Andhra Pradesh manakala tiga kematian dilaporkan di Telangana, yang berjiran.
Hujan lebat melanda bandar Vijayawada dan Guntur di Andhra Pradesh pada Sabtu, menyebabkan beberapa kawasan perumahan dilanda banjir. Hujan melanda beberapa bahagian di negeri itu akibat tekanan rendah di Teluk Bengal, yang melintasi pantai di Kalingapatnam pada awal pagi Ahad.
Lima orang maut dan empat cedera dalam kejadian tanah runtuh di Moghalrajpuram di Vijayawada pada Sabtu.
Seorang wanita warga emas terbunuh selepas batu besar menimpa sebuah rumah di Gandalayyapeta, Mangalagiri di daerah Guntur. Dalam satu lagi kejadian, tiga orang terkorban selepas kereta mereka dihanyutkan dalam banjir kilat di kampung Uppalapadu berhampiran bandar Guntur.
Menurut pegawai, anggota polis, Pasukan Tindak Balas Bencana Negeri dan Pasukan Tindak Balas Bencana Kebangsaan menjalankan usaha menyelamat. Ramai penduduk dari kawasan rendah dipindahkan ke lokasi yang lebih selamat, dan kira-kira 80 orang diselamatkan dari pelbagai tempat. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!