Penerbangan domestik India dilencongkan berikutan ancaman bom
NEW DELHI - Pihak berkuasa melencongkan penerbangan domestik ke sebuah lapangan terbang di negeri Maharashtra, barat India pada Ahad berikutan ancaman bom, menurut pegawai, lapor Xinhua.
Penerbangan IndiGo dari Jabalpur di Madhya Pradesh ke Hyderabad di Telangana telah dilencongkan ke Nagpur di Maharashtra selepas mesej ancaman bom ditemukan di dalam pesawat.
Menurut pegawai, semua penumpang dan anak kapal diarah turun dan pesawat itu diperiksa menyeluruh. Bagaimanapun, pasukan tindak balas tidak menemui objek mencurigakan di dalam pesawat.
Insiden itu adalah yang terbaru dalam siri ancaman bom palsu yang dihantar ke sekolah, lapangan terbang, pusat beli-belah dan hospital di negara itu, termasuk Delhi.
Pada Jun, badan keselamatan penerbangan awam India, Biro Keselamatan Penerbangan Awam, mencadangkan larangan terbang selama lima tahun ke atas mereka yang mengeluarkan ancaman sedemikian. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!