'Ramai bagi salam, sangka saya Muslim'

Dave menunjukkan keratan akhbar mengenai pembabitannya sebagai juruhebah di siaran radio berbahasa Melayu.
Dave menunjukkan keratan akhbar mengenai pembabitannya sebagai juruhebah di siaran radio berbahasa Melayu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Selepas lima tahun meninggalkan konti radio sebagai juruhebah, Dave A Madhavan, 65, atau lebih mesra disapa sebagai DJ Dave masih diingati kerana kepetahannya berbicara dalam empat bahasa.

Dave yang menguasai bahasa Melayu, Inggeris, Tamil dan Mandarin kini aktif memenuhi undangan sebagai pengacara majlis.

Senyuman tidak lekang dari bibir dan sifat mesranya membuatkan bapa lima anak yang gemar berpantun itu mudah didekati.

Dave memberitahu, pergaulan dengan masyarakat Melayu, Tionghoa, India dan Orang Asli di Kampung Contoh, Ladang Sungai Kahang, Kluang sejak kecil, memberikan kelebihan kepada dirinya.

Dave turut memiliki lapan pasang baju Melayu, telok belanga, cekak musang selain tanjak dan samping
Dave turut memiliki lapan pasang baju Melayu, telok belanga, cekak musang selain tanjak dan samping

“Saya dibesarkan di Kampung Contoh yang penduduknya terdiri daripada masyarakat majmuk. Apabila ada majlis perkahwinan tidak kira Melayu, Cina atau India, saya akan cuba menjadi pengacara.

“Saya ambil mikrofon untuk ucap selamat datang dalam tiga bahasa. Ia kenangan cukup manis buat saya sebelum terbabit dalam dunia penyiaran radio dan berkhidmat di Radio Televisyen Malaysia (RTM),” katanya kepada Sinar Harian.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, perjalanannya sebagai juruhebah radio berbahasa Melayu mempunyai pengalaman manis yang tersendiri, termasuk kerap diberi salam oleh pemanggil yang menyangka dia seorang Muslim ketika bersiaran.

“Ketika berusia 23 tahun, saya mohon jawatan Penerbit Rancangan di RTM Johor.

"Pada mulanya saya diletakkan di Rangkaian Merah (radio berbahasa Tamil) dan kemudian ditukarkan ke radio Melayu ketika itu iaitu Radio Tiga Johor.

“Selepas kira-kira tujuh tahun, semua radio aliran bahasa lain iaitu Tamil, Mandarin dan bahasa Inggeris dipusatkan di Angkasapuri, Kuala Lumpur,” katanya.

Dave yang menguasai bahasa Melayu, Inggeris, Tamil dan Mandarin kini aktif memenuhi undangan sebagai pengacara majlis.
Dave yang menguasai bahasa Melayu, Inggeris, Tamil dan Mandarin kini aktif memenuhi undangan sebagai pengacara majlis.

Dave kemudiannya menjadi satu-satunya juruhebah bukan Melayu di siaran radio bahasa Melayu iaitu Radio RTM Johor yang kini dikenali sebagai Johor FM Permata Selatan.

“Ketua saya pada masa itu, Azhar Ahmad minta saya terbabit dalam rancangan radio Melayu. Kemudian saya ditegur ada slang bahasa Tamil, nak buat macam mana, setiap hari saya makan kari.

“Tetapi saya tidak putus asa, saya perbaiki percakapan saya dengan membuat latihan bercakap dalam bahasa Melayu di depan cermin, sehinggalah ada pendengar memberikan salam kepada saya,” katanya.

Beliau pernah dipindahkan selama dua tahun ke radio KL FM pada 2007 sebelum kembali ke Johor.

“Saya kembali ke Johor sebagai pemberita namun saya minta semula jadi juruhebah radio. Saya tidak putus asa dan buktikan masih ada peminat.

“Di konti radio saya kendalikan rancangan Segar Pagi@Johor FM dan banyak lagi. Pelbagai kenangan menarik antara saya dapat hadiah termasuk kek hari lahir dan ada peminat belanja saya di kedai makan,” katanya.

Perjalanannya sebagai juruhebah radio berbahasa Melayu mempunyai pengalaman manis yang tersendiri.
Perjalanannya sebagai juruhebah radio berbahasa Melayu mempunyai pengalaman manis yang tersendiri.

Selain itu, Dave turut memiliki lapan pasang baju Melayu, telok belanga, cekak musang selain tanjak dan samping yang sering digayakannya ketika menjadi pengacara majlis.

Beliau berkata, sepanjang bergelar juruhebah selama 37 tahun, sensitiviti pendengar terutama berkaitan agama dan budaya cukup dijaga olehnya.

“Jaga adab dan sentiasa sopan. Sebagai juruhebah, maklumat perlu disampaikan secara tepat.

"Perlu banyak membaca dan bergaul untuk tambah ilmu,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!