Tanah jerlus: Waspada, bimbang bila-bila masa boleh berlaku
PADA Sabtu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa dilaporkan berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan G Vijaya Lakshmi, 48, dihentikan selepas mengambil kira isu keselamatan serta risiko kepada anggota pasukan SAR dan keselamatan kawasan di sekitar lokasi insiden tanah jerlus.
Susulan daripada itu, difahamkan Jalan Masjid India di sini kembali meriah berbanding minggu lalu apabila pengunjung mula memenuhi premis perniagaan yang beroperasi sepenuhnya pada Ahad selepas insiden tanah jerlus 23 Ogos lepas.
Kehadiran pengunjung ke Jalan Masjid India sudah pasti memberi khabar gembira buat peniaga memandangkan kawasan tersebut suram dan sangat kurang dikunjungi sepanjang tempoh sembilan hari SAR.
Peniaga mendakwa mereka rugi kira-kira 50 hingga 70 peratus dalam hasil jualan susulan insiden tanah jerlus di Masjid India pada Jumaat lalu, sehingga ada yang sanggup menghentikan operasi buat sementara waktu bagi mengelakkan kerugian yang lebih besar.
Namun persoalannya, mungkinkah masih ada tempat bahaya lain di seluruh Kuala Lumpur ataupun di tempat lain.
Oleh itu, kerajaan dan orang ramai perlu mengambil langkah waspada kerana sebarang kejadian tidak diingini sepertimana yang berlaku sebelum ini masih boleh terjadi bila-bila masa.
Semua pihak tidak seharusnya lalai dalam menjalani peranan masing-masing terutamanya pihak yang berkepentingan dalam memastikan kawasan tersebut selamat untuk dikunjungi.
Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat (Ikatan), Tan Sri Lee Lam Thye mencadangkan agar satu audit keselamatan wajib dilakukan oleh pihak berkuasa sekurang-kurangnya dalam tempoh dua atau tiga tahun bagi memastikan semua pembangunan infrastruktur dalam keadaan selamat untuk penggunaan orang ramai.
Katanya, menerusi audit keselamatan itu perkara yang perlu diberi perhatian adalah bahagian bawah tanah.
Beliau memberitahu, langkah keselamatan yang menyeluruh perlu melibatkan tinjauan geologi yang telah dikemaskini dari semasa ke semasa.
"Penilaian geologi menyeluruh terhadap kawasan yang terjejas amat diperlukan untuk mengenal pasti potensi risiko yang bakal berlaku.
"Memahami keadaan tanah dan batuan asas pula akan membantu untuk meramal dan mencegah insiden tanah jerlus pada masa hadapan serta risiko kejadian di tempat bahaya yang lain," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!