Malaysia bakal jadi hab pendidikan tinggi dunia

No Image Caption
A
A
A

BILANGAN pelajar dari China yang memilih Malaysia sebagai destinasi pendidikan merekodkan peningkatan yang agak ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Lebih 40,000 pelajar China kini dilaporkan menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) negara ini seiring dengan matlamat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi hab pendidikan tinggi global menjelang tahun 2025.

Salah satu faktor mendorong pelajar China memilih negara ini untuk melanjutkan pengajian mereka kerana kualiti pendidikan ditawarkan selaras dengan standard antarabangsa dan kebanyakan universiti di Malaysia mempunyai kerjasama dengan universiti terkenal dari negara lain termasuk United Kingdom, Australia dan Amerika Syarikat.

Seperti diketahui banyak universiti awam seperti Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) turut mendapat pengiktirafan antarabangsa dan tersenarai dalam kedudukan universiti global.

Kos sara hidup dan yuran pengajian di Malaysia juga lebih rendah berbanding negara-negara Barat dan beberapa negara Asia Timur lain.

Ini membolehkan pelajar dari China dan negara-negara lain, mendapat akses kepada pendidikan berkualiti tanpa terlalu membebankan kantung ibu bapa.

Ditambah pula dengan kualiti hidup yang baik, cuaca yang tropika dan pelbagai pilihan tempat tinggal, Malaysia menjadi pilihan menarik bagi keluarga yang mencari pendidikan luar negara untuk anakanak mereka.

Selain itu, Malaysia dan China telah lama menjadi rakan kongsi dalam perdagangan jadi kerjasama diplomatik yang semakin kukuh berkenaan ketika ini turut diterjemahkan menerusi sektor pendidikan.

Artikel Berkaitan:

Konsul Jeneral, Republik Rakyat China di Kuching, Xing Weiping pada Rabu berkata, angka lebih 40,000 pelajar China mengikuti pengajian di negara ini sekarang menunjukkan Malaysia bukan sahaja rakan kongsi utama China dalam perdagangan tetapi juga dalam pendidikan.

Katanya, China adalah rakan dagang terbesar kepada Malaysia dengan jumlah perdagangan dua hala dijangka melebihi AS$200 bilion untuk tahun ini.

Kerajaan kedua-dua negara sebelum ini telah memeterai beberapa perjanjian bagi memudahkan mobiliti pelajar, pengiktirafan kelayakan akademik dan pertukaran pendidikan.

Universiti-universiti di Malaysia turut aktif mempromosikan program mereka di China melalui pameran pendidikan, kerjasama akademik dan pengambilan pelajar secara langsung.

Kebudayaan Malaysia yang pelbagai dan masyarakat yang mesra dan peramah juga menjadi faktor yang menarik pelajar dari China selain faktor populasi masyarakat Cina yang signifikan di negara ini membantu pelajar negara tersebut menyesuaikan diri dengan lebih mudah.

Bahasa Mandarin dituturkan secara meluas di Malaysia menjadikan persekitaran lebih selesa bagi pelajar-pelajar di samping suasana hidup yang harmoni antara pelbagai kaum di negara ini memberikan pengalaman yang kaya dari segi budaya dan sosial kepada mereka.

Dengan segala kelebihan yang dimiliki, boleh dianggap cita-cita negara untuk menjadi destinasi hab pendidikan tinggi dunia semakin hampir.

Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Malaysia 2015-2025 menyasarkan kemasukan seramai 250,000 pelajar antarabangsa menjelang tahun depan.

Berdasarkan statistik, sehingga Jun 2023, terdapat seramai 104,315 pelajar antarabangsa di Malaysia iaitu 43,952 di universiti awam dan 60,363 di IPT swasta yang sedang mengikuti pengajian dalam pelbagai bidang dan peringkat.

Dalam usaha berterusan meningkatkan bilangan pelajar antarabangsa ke Malaysia berkenaan, KPT pada April lalu dilaporkan sedang merangka langkah untuk mempermudahkan prosedur imigresen yang perlu dilalui pelajar asing.

Selain cabaran dari segi prosedur imigresen, IPT tempatan perlu memastikan kualiti pendidikan mereka terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa selari dengan perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI) kerana jika negara ketinggalan dari sudut itu, kemungkinan pelajar asing akan lebih memilih negara maju untuk menyambung pengajian.

*Raiham Mohd Sanusi ialah Wartawan Meja Am Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!