Usaha KPKT naik taraf 10,000 tandas awam dipuji

Laporan Sinar Harian mengenai 10,000 tandas awam berjaya dinaik taraf. Gambar kecil: Zamari
Laporan Sinar Harian mengenai 10,000 tandas awam berjaya dinaik taraf. Gambar kecil: Zamari
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBha) menyambut baik usaha Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menaik taraf lebih 10,000 tandas awam di seluruh negara sehingga mencapai tahap BMW iaitu Bersih, Menawan, Wangi.

Setiausaha Agungnya, Zamari Muhyi berkata, usaha yang dilakukan berkenaan bukan hanya meningkatkan kebersihan dan imej tandas awam di Malaysia, malah dapat menaikkan imej kemudahan berkenaan di mata pelancong domestik dan luar negara pada masa depan.

Zamari yang juga Yang Dipertua Persatuan Pengusaha Pelancongan Bumiputra Perak berkata, tindakan itu juga secara tidak langsung akan menggalakkan lebih ramai pelancong datang bercuti ke negara ini sempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Tindakan berkenaan penting kerana secara keseluruhannya tahap kebersihan tandas awam termasuk di hotel bajet adalah kurang memuaskan untuk dipersembahkan kepada pelancong tempatan dan luar negara menjelang Tahun Melawat Malaysia pada 2026.

“Perkara itu perlu kerana secara keseluruhannya hanya 20 peratus tandas awam di Malaysia boleh dikategorikan sebagai bersih atau tahap satu dan dua; 50 peratus berada di tahap tiga atau sederhana, manakala 30 peratus lagi dikategorikan di bawah tahap tiga atau kotor dan perlu dibersihkan,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming mengumumkan 10,000 tandas awam di negara ini telah mencapai taraf BMW, hasil kerjasama pelbagai pihak termasuk sekolah, hotel dan restoran sejak tahun lalu.

Seperti kereta BMW yang mewah dan bergaya, jenama BMW tandas awam juga mampu meningkatkan imej negara khususnya di destinasi utama pelancongan mahupun pintu masuk negara.

Ia juga meningkatkan persepsi positif rakyat terhadap pihak berkuasa tempatan (PBT).

Artikel Berkaitan:

Pada tahun 2022, sebanyak 5,241 tandas awam atau 20 peratus daripada 26,081 tandas awam di kawasan PBT adalah berstatus dua bintang dan ke bawah iaitu kurang bersih dan kotor.

Peratusan itu meliputi semua kategori tandas awam seperti milik PBT, kedai makan, pusat beli-belah, stesen minyak, rumah ibadat, hentian awam, pejabat kerajaan, pusat pelancongan, sekolah dan institusi pengajian tinggi.

Mengulas lanjut, Zamari berkata, antara punca utama tandas sesebuah hotel menjadi kotor adalah kerana kurang pemantauan pihak pengurusan dan sikap pengotor serta tidak bertanggungjawab pengunjung atau pelancong sendiri.

Berikutan itu, pihaknya turut mengambil inisiatif dengan menganjurkan Pertandingan Lobi dan Tandas Hotel Cantik, Bersih serta Kreatif pada tahun lalu bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan ahli MyBha mengenai kepentingan menjaga kebersihan termasuklah tandas di premis masing-masing.

“Kita berharap pertandingan seumpama itu dapat memupuk sikap dan budaya dalam kalangan pengunjung dan pengurusan hotel supaya sentiasa menjaga kebersihan dan kecantikan kemudahan awam terbabit,” katanya.

Untuk rekod, kerajaan menyasarkan ketibaan seramai 35.6 juta pelancong dengan jangkaan pendapatan pelancongan sebanyak RM147.1 bilion bagi Tahun Melawat Malaysia 2026.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!